"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis larang perhimpunan serah memo pada Agong

Polis Terengganu hari ini memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan keadaan tidak aman di negeri itu, kata Ketua Polis negeri Datuk Mohd Shukri Dahlan.

Beliau mengulas rancangan mengadakan perhimpunan bagi menyerahkan dua memorandum berhubung tuntutan royalti minyak kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin Sabtu ini.

Perhimpunan dianjurkan oleh dua NGO - Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) dan Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) - bagi menyerahkan memorandum tersebut kepada Seri Paduka di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM).

Satu lagi ialah program ceramah dan dialog yang juga dianjurkan oleh Mampat dan Gegar di Terengganu Ekuestrian Resort esok.

"Saya ingin menasihatkan pihak-pihak berkenaan bahawa itu bukanlah tempat yang sesuai untuk menyerahkan memorandum atau mengemukakan bantahan kerana Yang di-Pertuan Agong berangkat ke Terengganu di atas urusan-urusan tertentu,” kata Mohd Shukri kepada pemberita di Kuala Terengganu..

"Saya tidak mahu mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan di atas kehadiran Tuanku untuk melakukan sesuatu yang di luar program yang telah ditetapkan oleh pihak Istana," katanya sambil menambah polis akan meningkatkan kawalan keselamatan di LTSM pada hari berkenaan.

Sebaliknya, Mohd Shukri mencadangkan kepada mereka supaya menggunakan saluran lain utnuk menyampaikan bantahan dan memorandum tersebut.

Mengenai program ceramah dan dialog di Terengganu Ekuestrian Resort esok, beliau berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima permohonan permit daripada pihak berkenaan untuk berbuat demikian.

"Setakat ini saya tidak ada menerima sebarang permohonan permit. Kita akan ambil tindakan kepada mereka yang kita rasakan akan menimbulkan masalah keselamatan," katanya yang menasihatkan penganjur supaya tidak meneruskan program itu bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

-Bernama-

Tiada ulasan: