"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPN nafi lantik 2 pegawai kanan Sultan Kelantan

Mohd Zuharman

KOTA BARU, 19 Mac: Istana Kelantan dilihat berhadapan dengan isu baru dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) hari ini mengesahkan jawatan Setiausaha Sulit Sultan Kelantan dan Ketua Istiadat Diraja Kelantan yang kosong masih belum diisi.

“Memang benar bahawa kuasa melantik Setiausaha Sulit kepada Sultan dan juga Ketua Istiadat adalah di bawah kuasa pejabat SPN.

“Tapi setakat ini SPN tidak pernah melantik sesiapa pun untuk memegang kedua-dua jawatan itu.

“Jawatan itu kosong pada masa kini,” kata Pengerusi SPN Datuk Ismail Md Noor pada sidang media di Istana Balai Besar dekat sini, petang tadi.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia muka depan hari menyiarkan gambar Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra menerima menghadap Ketua Istiadat Diraja, Datuk Tengku Shahbuddin Tengku Muhammad Maasun dan Setiausaha Sulit Datuk Wan Hashim Wan Daud di Istana Tengku Mahkota, Kubang Kerian.

Jawatan Setiausaha Sulit Diraja sebelum ini disandang Engku Rejhan Engku Ismail, yang telah ditukarkan ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri tahun lalu.

Wan Hashim adalah bekas Setiausaha Kerajaan Negeri manakala Tengku Shahbuddin bekas Ketua Istiada Diraja yang telah tamat perkhidmatannya Ogos lalu.

Dalam pada itu, Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad membuat laporan polis terhadap tiga perkara yang dianggapnya sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab dan mengelirukan orang ramai.

Perkara tersebut adalah penggunaan kepala surat pejabat sultan yang telah diguna tanpa mendapat kebenaran pihak berkuasa, individu yang mendakwa sebagai Setiausaha Sulit Sultan Kelantan dan blog Kickdefella yang menulis perkara berkaitan istana, yang dianggap mengelirukan.

“Kepala surat Pejabat Sultan ini sebenarnya tidak boleh digunakan tanpa mendapat kebenaran saya ataupun Pemangku Raja.

“Jadi bila saya dapati perkara sebaliknya berlaku maka saya terpaksa membuat laporan polis supaya ia disiasat bagaimana kepala surat ini boleh diambil oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya semasa ditemui di pekarangan Balai Polis Kota Baru hari ini sejurus selesai membuat laporan tersebut.

Semalam satu kenyataan akhbar berhubung pembatalan perayaan dan penganugerahan darjah kebesaran sempena Hari keputeraan Sultan Kelantan yang ke-60 pada 30 Mac ini dikeluarkan dengan mengguna kepala surat tersebut dan ditandatangani Wan Hashim.

“Tentang Setiausaha Sulit Tuanku ini pula sebenarnya, tiada sebarang dokumen berkaitan yang menyatakan pelantikan (Setiausaha Sulit) telah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri selepas jawatan itu kosong sejak beberapa bulan lalu kerana Setiausaha Sulit dulu ditukarkan ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Mengikut perjawatan, jawatan Setiausaha Sulit Sultan adalah daripada seorang pegawai pentadbir negeri yang grednya N48.

“Berkenaan dengan blog Kikdefella pula kerana belia menulis perkara yang ada kaitan dengan istana di mana ia agak mengelirukan,” jelasnya.

Kickdefella melalui tulisannya yang bertajuk “Usaha Menabalkan Sultan Kelantan Yang Baru Dalam Proses” yang dimuatkan kelmarin menulis bahawa Ahli Majlis Perajaan Negeri Kelantan, Datuk Shukri Mohamed berkata: “Jika Pemangku Raja (Tengku Mahkota Kelantan) mahu menjadi Sultan, esok pun boleh!”

Selain itu beliau menyebut antara lain Shukri berkata apa yang boleh dirancang untuk menurunkan Sultan Kelantan dari takhta ialah dengan, “meminda Undang-Undang Tubuh Negeri, memanggil satu sidang Dewan Undangan Negeri dan dengan kekuatan 39 orang ahli Dewan Undangan Negeri PAS berbanding enam Ahli Dewan Undangan Negeri BN, bila-bila masa sahaja undi dua pertiga yang diperlukan untuk meminda Undang-Undang Tubuh Negeri boleh dilakukan.”

“Lantaran itu esok Tengku Mahkota boleh menjadi Sultan Kelantan.”

Halim yang ditemani dua pegawainya tiba di balai polis Kota Baru kira-kira pukul 12 tengah hari ini dan selesai membuat laporan tersebut kira-kira sejam kemudian.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: