"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ucapan sulung MP Bebas Zahrain serang Anwar

Shazwan Mustafa Kamal dan Clara Chooi

KUALA LUMPUR, 17 Mac: Sidang Dewan Rakyat yang masuk hari ketiga hari ini hangat apabila Ahli Parlimen Bebas Datuk Seri Zahrain Hashim mengecam bekas ketuanya sambil meluahkan rasa kecewa beliau dan mendakwa PKR menjadi “hamba” kepada DAP.

Dalam ucapan sulungnya selaku wakil rakyat Bebas, Ahli Parlimen Bebas menggunakan peluangnya untuk mengecam Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mengatakan bahawa beliau telah menipu peristiwa 16 September akan benar-benar berlaku.

Zahrain (gambar) juga mendakwa ketika itu beliau diyakini bahawa Penasihat PKR itu telah memperoleh perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Kami telah ditipu dengan cerita bahawa Agong menunggu di istana... menunggu untuk mendapatkan pengesahan bahawa sudah ada sejumlah Ahli Parlimen menyertai pembangkang dan kami ada cukup bilangan untuk mengambil alih kerajaan persekutuan.

“Agong juga dikatakan telah memberi perkenan untuk membolehkan Anwar dilantik sebagai perdana menteri,” kata beliau dengan diiringi suara “ooh” dari kalangan anggota Dewan Rakyat.

Suara menyokong dan membantah kedengaran apabila Zahrain meneruskan ucapannya.

Penyokong-penyokong pembangkang pula mengambil peluang untuk mendakwa Zahrain dibeli oleh BN manakala Anwar pula memberitahu Dewan Rakyat bahawa bekas ketua PKR Pulau Pinang itu hanya berminat untuk mendapatkan jawatan dan kedudukan.

Zahrain membalas dengan memberitahu Anwar, “anda jangan berbohong”.

Ketika itu Anwar keluar dari Dewan Rakyat.

Beberapa Ahli Parlimen BN mendakwa Anwar tidak boleh bertahan dengan bahang serangan Zahrain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz kemudian memberitahu, “takut, takut, takut, takut, takut.”

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: