"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sudin Ajaib belum puas

KOTA BHARU: Tidak cukup menikahi budak berusia 11 tahun, Siti Nur Zubaidah Hussin, lelaki dikenali sebagai ‘Sudin Ajaib’ dikatakan turut merancang untuk mengahwini seorang lagi kanak-kanak.

Difahamkan, Sudin Ajaib yang turut menikahkan anaknya berusia 10 tahun dengan ahli jemaah, pernah memberitahu seorang rakannya dia mahu mengahwini seorang lagi kanak-kanak dari Ketereh, dekat sini.

Menurut isteri pertama Sudin Ajaib yang mahu dikenali sebagai Na, dia diberitahu secara ringkas oleh seorang rakan suaminya mengenai perkara itu.

Katanya, dakwaan itu bagaimanapun tidak dapat dipastikan kesahihannya kerana dia sudah tidak dapat berhubung suaminya yang kali terakhir berada di rumah mereka kira-kira jam 12 tengah hari pada 22 Februari lalu.

“Saya hanya diberitahu suami mahu berkahwin seorang lagi kanak-kanak perempuan selepas ini.

“Rakannya beritahu kanak-kanak perempuan itu berasal dari Ketereh. Hanya itu yang saya tahu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dalam kejadian baru-baru ini, Siti Nur Zubaidah dikahwinkan dengan Sudin Ajaib, 41, oleh bapa kandungnya yang juga rakan jemaah itu sebelum hilang selepas mengambil kanak-kanak berkenaan di rumahnya di Kampung Jelawang, dekat Dabong, pada 20 Februari lalu.

Sebelum itu, Sudin Ajaib sempat menikahkan anaknya sendiri, Nur Hadhirah yang baru berusia 10 tahun dengan seorang rakan jemaah lain dikenali sebagai ‘Azhar’ dalam sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke markas mereka di Kota Bharu. Pernikahan itu berlaku ketika bapa Siti Nur Zubaidah turut berada dalam kereta berkenaan.

Selepas 23 hari dilarikan, Siti Nur Zubaidah ditemui kira-kira jam 6.30 petang di Madrasah Al-Ikhwan, Taman Samudera Jaya, Batu Caves, Selangor, Sabtu lalu.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) berkata, pihaknya masih memburu Sudin Ajaib yang didakwa ketua jemaah terbabit bagi membantu siasatan.

Katanya, sebaik mendapat laporan kes berkenaan, pegawai JAHEIK pernah ke rumah lelaki terbabit untuk menjalankan siasatan, namun dia sudah melarikan diri.

“Kami ada buat siasatan mengenai Sudin, namun sebaik tiba di rumahnya dia sudah melarikan diri.

“Bagaimanapun, jika dia berada di luar negeri, ini bukan bidang kuasa kami untuk melakukan siasatan, sebaliknya diserahkan kepada polis,” katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan, menurut Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Mohamad, hanya Mahkamah Syariah boleh menentukan sama ada sah atau sebaliknya status perkahwinan kanak-kanak perempuan itu yang dikatakan berlaku secara paksa.

Beliau berkata, mereka yang terbabit kes itu, seperti bapa kanak-kanak berkenaan dan lelaki terbabit perlu didakwa di mahkamah terlebih dulu sebelum status perkahwinan itu ditentukan.

“Andaian yang dibuat orang ramai mengenai kes ini tidak boleh dijadikan asas kukuh dalam menentukan status perkahwinan pasangan terbabit sebelum kes itu diputuskan mahkamah.

“Ini perlu bagi mengelak kekeliruan masyarakat Islam berhubung soal perkahwinan kerana ia menyentuh hukum Islam,” katanya.
-hmetro-

Tiada ulasan: