"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kuasa luar biasa internet upaya "jahanamkan" BN dalam PRU-13 nanti

Detikdaily
Pengakuan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak mengenai kewujudan media internet menyukarkan kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak didakwa merupakan alasan dan jawapan terhadap kehilangan kerusi kepada Pakatan Rakyat.

Menurut editor di sebuah syarikat media internet, Onn Yeoh, keputusan yang dicatatkan pada pilihan raya umum kali ini menunjukkan kerusi-kerusi di kawasan bandar beralih kepada Pakatan Rakyat membuktikan keberkesanan media atas talian kepada pengundi.

"Beliau (Najib) berkata demikian sekadar ingin memberikan alasan kepada kehilangan banyak kerusi BN kepada Pakatan Rakyat," katanya.

Presiden Umno itu ujarnya, perlu mencari sebab kehilangan 15 kerusi kepada Pakatan Rakyat daripada sibuk menunding jari menyalahkan media internet yang terhasil daripada ruang demokrasi yang lebih luas terbuka. Tambah Onn Yeoh, media arus perdana bersifat tradisi lebih mudah dikawal oleh BN dalam menyebarkan segala bentuk propaganda dan bahan-bahan kempen.

"Kita lihat media internet yang hanya terhad kepada penduduk di kawasan bandar memberikan kesan yang sangat ketara apabila Pakatan Rakyat menang di kawasan-kawasan berkenaan. Jika di kawasan pedalaman dan kampung-kampung, mereka tidak ditembusi liputan internet menyebabkan mereka tidak memperolehi maklumat yang banyak untuk membuat penilaian," ujarnya.

Hal tersebut menyebabkan Pakatan Rakyat hanya menang di bandar sahaja dan kalah di kawasan pedalaman. Jelas Onn Yeoh, kawalan yang longgar ke atas media internet sememangnya menyukarkan kejayaan BN untuk membolot lebih banyak kerusi.

Terdahulu, dalam satu laporan Bernama, Najib dilaporkan sebagai berkata kemenangan BN di Sarawak amat bermakna memandangkan kesukaran berdepan dengan demokrasi terbuka. Pengerusi BN itu berkata, kewujudan media internet menjadikan ianya lebih sukar untuk memenangi pilihan raya dengan majoriti besar, seperti yang berlaku di setengah negara kebelakangan ini.

Tiada ulasan: