ramziredang
Lebih kurang tiga tahun yang lepas saya ada menulis satu artikel di dalam portal tranungkite tentang adanya rancangan untuk menjatuhkan husam. Namun artikel tersebut hanya disiarkan selama setengah jam kemudian ditarikbalik. Dalam artikel tersebut juga saya menyatakan kehairanan saya, bagaimana rancangan menjatuhkan husam boleh dibisik bisikkan di Terengganu sedangkan husam adalah pemimpin Kelantan
Pada masa itu rancangan untuk menjatuhkan husam sangat hebat, sehingga munculnya blog yang bernama ‘antihusam’. Bayangkan, namapun antihusam. Juga pada masa itu heboh diperkatakan seorang ulama boleh menuduh macam macam, bila diminta bukti dalam mesyuarat, diangkat kedua tangan dengan berkata “maaf maaf”. Begitulah hebatnya adu domba yang berlaku di dalam PAS.
Entah apa bala besar yang dibuat husam hingga perlu ada blog yang bernama ‘anti’ dan apa kesalahan husam sehingga seorang ulamapun dibenarkan memfitnah. Apakah blog ini dimunculkan oleh orang UMNO, atau orang PAS yang berperangai UMNO? Allah swt jua yang mengetahui segala yang di langit dan di bumi
Ketika TGNA masih di tampuk kuasa, Husam yang pada masa itu sangat rapat dengan TGNA, mengambil segala kesempatan yang mungkin mencontohi apa yang dibuat oleh TGNA. Beliau seolah olah menyedut nafas apa saja udara yang disedut oleh TGNA. Meneguk minuman apa sahaja yang diteguk oleh TGNA. Memandang apa sahaja yang dipandang oleh TGNA. Senyum tatkala TGNA senyum dan marah tatkala TGNA marah. Dia tahu bila masa TGNA bangun menangis di tengah malam. Dia tahu apa yang meremukredam di dalam hati TGNA.
Lantaran itu Husam Musa dipandangtinggi di mata masyarakat Kelantan khususnya dan Malaysia amnya seiring dipandangtingginya TGNA di mata masyarakat. Dia muncul sebagai seorang profesional yang berjiwa agama. Pada masa itu husamlah segalanya. Dia juga yang mencorakkan Kelantan dari sudut ekonomi. Masyarakat di luar Kelantan seolah lupa kepada pemimpin pemimpin lain di dalam PAS Kelantan. Kalau mereka lupa untuk menyebut TGNA, yang muncul dibibir adalah husam musa. Masyarakat luar Kelantan lupa untuk mengenali pemimpin pemimpin kelantan yang lain. Seolah olah TGNA adalah badan dan husam adalah bayangnya.
Kini ternyata benar. Hilang badan, hilanglah bayangnya. Berapa lamapun rancangan hendak menjatuhkan husam dicaturkan, ianya tidak berjaya selagi adanya TGNA. Setelah sahaja TGNA tidak ada dalam pimpinan tertinggi Kelantan,tidak menunggu masa yang lama jatuh tertiaraplah husam. Bergembiralah para gerombolan yang lama mengidamkannya.
Belumpun seminggu husam dijatuhkan, apa yang disebarkan tentang husam semuanya buruk. Kalau sebelum ini husamlah segalanya, husamlah intan husamlah payung. Kini segalanya berpusing sama sekali. Dipusing bukan oleh musuh dari luar, tetapi dari dalam sendiri.
Sekelip mata husam menjadi buruk. Husam baham balak, husam rasuah, husam kaki perempuan, “husam yang pandai pandai isytihar hendak bina stadium dan lebuhraya sedangkan duit tidak ada” dan macam macam lagi.
Singgahlah di mana mana kedai kopi di kampung di kelantan, cerita inilah yang hangat disebarkan. Lebih hangat dari nasi kerabu lauk daging bakar. Lebih terliur diperkata orang dari mek siam yang memakai gelang emas penuh lengan.
Yang sangat menghairankan segala perkara buruk tentang husam ini berasal disebar dari dua ulas bibir orang yang memakai kopiah dan berjanggut, bukan keluar berasal dari bibir orang biasa. Di bibir mereka juga selama ini selalu dilaungkan konon musuh mereka adalah UMNO .Dari sinipun sebenarnya kita sudah dapat menilai, apa sebenarnya yang diidamkan di dalam hati mereka.
Kalau pun husam seorang yang buruk, tetapi dia tetap pemimpin PAS yang berjasa kepada kelantan. Biarkan sahaja keburukan itu berlalu kerana sekarang bukankah sudah digantikan oleh orang lain? Tetapi Allah Maha Kuasa. Tanpa sedar mereka tetap hendak menzahirkan rasa dendam di hati mereka dengan patah perkataan memburukkan husam.
Kini belang mereka telah mula muncul. Wajah sebenar mula kelihatan di sebalik topeng selama ini. Perhatikan, siapa yang membayangi segalanya di Kelantan sekarang? Siapa yang cepat cepat muncul di tv3? TV3 milik siapa? Milik UMNO bukan? Siapa yang selalu bercakap konon musuh UMNO dan siapa pula yang suka muncul di tv UMNO? Aneh, orang yang bermusuh adakala melambai lambai musuh.
Sudah mula muncul kata kata ‘sedia bekerjasama dengan kerajaan pusat demi pembangunan rakyat kelantan’. Kata kata ini memang pernah diucapkan oleh ramai pemimpin Kelantan, tetapi ingat, lain orang yang berucap lain niatnya dan lain maksud hatinya walaupun ayat yang sama.
Apakah mereka salah faham dengan hati para pengundi Kelantan? Mereka salah tafsir dengan kalbu rakyat Kelantan? Rakyat kelantan tidak lapar dengan pembangunan. Kalau rakyat kelantan lapar dengan pembangunan sudah lama mereka memilih UMNO. Buat apa memilih PAS. Yang lapar dengan pembangunan adalah setengah pemimpin di dalam PAS. Kerana mungkin ada komisyen.
Sebenarnya ada satu rumusan yang sama, berlaku ke atas dua buah negeri PAS yang telah jatuh iaitu Terengganu dan kedah. Iaitu adanya pemimpin yang mengidamkan keduniaan dan lari niatnya dari perjuangan Islam. Tetapi lari bukan dalam ertikata secara terang terang, kalau dia buat secara terang terang sudah pasti orang orang PAS sendiri telah menolaknya. Lari dengan perbuatan dan tindakan halus.
Hal yang seperti inilah yang pernah diberitakan, membuatkan Tuan Guru Haji Hadi menitiskan airmata. Menitiskan airmata kerana menyesali tentang perangai pemimpin terengganu yang berbeza sama sekali semasa berjuang, tetapi berubah perangai setelah mendapat kemenangan dan memegang jawatan.
Di kedah juga berlaku perkara yang sama tetapi dalam versi lain dan versi lebih hebat. Atas dasar hendak mengekalkan kuasa, perjuangan Islam di’lembut’kan. Malah kekadang lebih UMNO dari UMNO. Harapan yang diberi oleh rakyat disia-siakan dengan sikap lupa diri dan hayalan ‘tidak mungkin jatuh’. Langkah pertama Kelantan melembutkan ialah dengan munculnya wakil qari perempuan yang selama ini diharamkan. Kemudian disusuli dengan ‘kerjasama demi rakyat kelantan’.
Punca punca terlalu memandang rendah pemikiran pengundilah yang menyebabkan mereka suka perbuat apa sahaja dengan anggapan rakyat hanya memandang remeh. Hasilnya Terengganu jatuh Kedah terbenam.
Tetapi bila tiba masa post mortem seperti biasa, kejatuhan kedua dua Terengganu dan kedah di letakkan kepada ‘pengundi hantu’. Sikap terlalu merendahkan minda pengundi seperti ini sering sahaja berada dalam kotak pemikiran pemimpin.
Tulisan saya bukan untuk menyatakan hanya TGNA dan Husam sahaja yang dapat menaikkan Islam. Atau Kelantan hanya bergantung kepada husam sahaja. Bukan. Tidak sama sekali. Saya tidak pernah meletakkan naiknya Islam hanya kerana seorang individu atau seorang pemimpin sahaja. Kerana sejarah Islam sering menyusul secara kolektif
Yang saya hendak tekankan adalah Islam boleh jatuh hanya kerana beberapa pemimpin. Itu berbeza. Islam boleh jatuh bila sesame pemimpin sendiri tidak ada sifat ukhuwah. Islam boleh jatuh bila sesame pemimpin tidak berbaik sangka. Islam boleh jatuh jika pemimpin hanya takut kepada Allah di mulut sahaja tetapi tidak di hati. Islam boleh jatuh bila pemimpin cinta dunia. Islam boleh jatuh kerana itu dan kerana ini, dari pemimpin itu sendiri.
Buktinya jelas berlaku ke atas Terengganu dan Kedah. Rakyat memang telah memberi harapan kepada kita untuk digalas, cuma terserah kepada kita untuk membuktikan janji janji kita. Rakyat boleh menaikkan kita, rakyat juga boleh hukum kita.
Kita naik bukan kerana kita hebat, kalau kita hebat tentu rakyat tidak dapat menjatuhkan kita. Kita naik kerana rakyat percaya kepada kita, tetapi bila rakyat hilang kepercayaan, mereka juga akan menjatuhkan kita
Apa sahaja alasan yang digunakan untuk menghalalkan kejatuhan Terengganu dan kedah, alasan ini jugalah nanti mungkin akan digunakan untuk menghalalkan seandainya Kelantan jatuh..
Benarlah firman ALLAH swt dlm surah al kahfi 7:
Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang di bumi sebagai perhiasan baginya, agar Kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang terbaik amalannya
Juga seperti mafhum hadis:
Sesungguhnya bagi tiap umat ada fitnah (ujian yang menyesatkan), dan fitnah umatku adalah harta.” (Shahih Sunan At-Tirmdzi no. 2336)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan