"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Laa hau la wala quwwata illa........'

Aspan Alias
Isu yang berbangkit hasil dari pilihanraya lalu belum reda. Sekarang timbul isu dalaman UMNO yang akan memulakan ulang tahun berperang sesama sendiri semasa pemilihan parti November ini. Setiap parti mempunyai masalah masing-masing dan tidak ada mana-mana parti boleh mengata dan mengkritik parti-parti lain. Masing-masing parti ada hal yang membosankan.

UMNO sudah menampakkan masalah yang terlalu rumit jika dipandang dari mana-mana sudut sekali pun. Ada yang memarahi saya kerana membuat komen tentang UMNO kerana saya bukan lagi ahli UMNO. Tetapi bukankah UMNO itu mengaku yang parti itu untuk semua kaum dan mempunyai slogan 1Malaysia bersamanya?

Maka setiap rakyat ada hak untuk memberikan penilaian terhadap parti itu mengikut tanggapan masing-masing. Perhimpunan Agung yang mendatang sudah menampakkan keretakan dalam UMNO yang menunggu masa untuk berpecah. Jika dahulu ahli-ahlinya mempunyai segan silu untuk mengkritik pimpinan tetapi sekarang sudah ada unsur-unsur yang menunjukkan budaya segan silu itu sudah mula hilang selepas pilihanraya yang lalu.

Wanita UMNO akan melihat pertandingan diantara Shahrizat Jalil yang sentiasa menjadi orang kesayangan Presiden UMNO pada hari ini. Azalina Othman Said akan menandingi beliau sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO. Azalina beranggapan yang Najib tidak memberi komitmen secukupnya dalam pembangunan Wanita sebagai sebab beliau akan menandingi Shahrizat yang telah terjurumus dalam isu National Feedlot Corporation (NFC).

Tetapi yang hendak melawan Shahrizat ini pun bukannya tidak ada isu dan isu yang masih didalam ingatan ramai ialah isu Pembangunan Pusat Sukan di Herdforshire England semasa beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan dahulu dan isu ini bukannya isu yang kecil. Tetapi apakan daya, seperti yang selalu saya sebut sejak beberapa tahun dahulu UMNO sudah ketiadaan pimpinan yang tidak mempunyai isu rasuah. Maka yang hendak membetulkan keadaan pun tidak betul, apatah lagi pimpinan yang hendak dibetulkan itu.

Mesti satu diantara kedua belah pihak itu akan memenangi pertandingan itu, tetapi keadaan tidak juga akan berubah. Mahu tidak mahu terpaksa jugalah UMNO menggunakan nama-nama yang sama tahap imej mereka untuk mengganti pihak yang ada sekarang. Kata perpatah ‘tidak ada rotan akar berguna juga’. Ada dikalangan wanita sendiri bercakap, ‘Azalina pun Azalina lah, asalkan ada perubahan. Mana nak cari lagi pemimpin wanita yang berwibawa?’

Ada diantara Wanita berkata kalau Azalina menjadi ketua mereka masalah besar tetap ada, tetapi setidak-tidaknya masalah yang akan datang itu masalah baru. Kalau Sharizat masih Ketua kami, balik-balik masalah lama juga. "Shahrizat tu berselindung dicelah ketiak Najib aje” kata mereka.

Tetapi apa lebih penting yang perlu kita pandang sekarang ini ialah, kemasukan Azalina dalam kancah Wanita kali ini merupakan pertandingan ‘proxy’ diantara kedua pihak yang sedang ‘bergebang’ dalam UMNO sekarang ini. Keadaan ini memang telah dijangka dan ‘predictable’. Penonjolan Ahli Parlimen Penggerang ini untuk mengetuai Wanita itu adalah jelas membayangkan yang ia merupakan ‘undi tidak percaya’ kepada Najib oleh setengah pihak dalam UMNO.

Penyertaan Azalina dalam pertandingan Ketua Wanita UMNO ini adalah manifestasi ramai dikalangan Wanita dan ahli-ahli UMNO terhadap Najib. Kalau dipandang dari budaya dalam UMNO jarang-jarang diantara pimpinan dalam UMNO yang berani mengkritik Najib seperti yang dilakukan oleh Azalina itu.

Sesungguhnya penampilan rasa tidak puas hati kepada pucuk pimpinan ini amat jelas apbila telah dapat dikenalpasti ramai penggiat UMNO yang telah berjalan keperosok negara berkempen secara senyap-senyap telah begitu ramai berbincang tentang kemungkin Najib dicabar dalam pemilihan UMNO kali ini.

Ramai dikalangan pimpinan atasan UMNO juga dilihat membuat persiapan untuk menawarkan jawatan Timbalan Presiden. Tidak dapat dipastikan samada ia adalah anjuran pihak yang mahukan Muhyidin untuk bertanding Jawatan Presiden atau Muhyiddin sendiri akan ditandingi oleh salah seorang Naib Presiden yang kini penuh pejabatnya dengan penyokong beliau dari seluruh negara.

Unjuran agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan juga bertambah berkurangan. Setiausaha Agong parti itu sendiri sudah berubah pendirian dari mempertahankan agar kedua-dua jawatan itu tidak dipertandingkan kepada terbuka untuk rebutan sesiapa dalam parti itu.

Dimana-mana kedengaran isu pertandingan dalam parti UMNO dibualkan. Belum nampak dengan jelas apa yang akan berlaku kepada Pemuda UMNO, samada Khairy Jamaludin akan mempertahankan jawatan beliau atau ada pihak dan individu lain yang akan mencabar beliau dan bertanding bagi jawatan itu kali ini.

Walau bagaimana pun jika jawatan Presiden dipertandingkan, maka semua jawatan yang lain akan terbuka kepada pertandingan itu akan terjadi. Dalam UMNO sudah menjadi isu biasa jika ada pertandingan akhirnya parti itu akan berpecah, bukan kerana apa tetapi kerana yang dicabar tidak dapat menerima hakikatnya beliau sememangnya perlu dicabar.

Tetapi pertandingan kali ini mempunyai perbezaaan yang besar dengan pemilihan pada tahun 1987 dahulu kerana yang akan mencabar kepimpinan yang menyandang itu juga bukannya mempunyai kebolehan yang lebih dari yang dicabar. UMNO itu akan hanya menunggu waktu untuk berkecai setelah pertandingan itu berlaku.

Jika pertandingan dalam UMNO itu benar-benar berlaku kita tidak dapat menjangka sejauh mana UMNO akan binasa kerana pihak yang menandingi pihak yang ditandingi itu adalah dari mentaliti dan kapasiti mental yang sama sahaja. Ia ibarat tubuh yang sudah tidak mempunyai sel-sel hidup yang baik lagi. Ia ibarat sel-sel berperangan dan membunuh diantara satu dengan yang lain dan akhirnya mematikan tubuh yang sudah usang seperti UMNO itu.

UMNO dan BN akan hanya mampu mengekang pembangkang jika pembangkang masih dipimpin oleh pimpinan yang ada pada hari ini. Perlu diingat parti-parti dipihak pembangkang juga bukan tidak mempunyai masalah, malahan masalah yang dihinggapi oleh UMNO juga menjangkit kepada parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Jika UMNO memakan masa enam dekad untuk jatuh, parti-parti pembangkang akan menghadapi nasib kejatuhannya hanya dalam masa satu setengah dekad sahaja jika mereka tidak memilih pimpinan yang baru dalam kadar yang segera sekarang ini.

Jika ditanya apa yang akan berlaku pada politik tanah air selepas ini, tidak ada jawapannya buat masa ini. Biarkan sahaja masa dan keadaan sahaja yang menentukannya.

Kepada mereka yang mempunyai ketenangan jiwa, mereka akan hanya berdoa agar akan datang kebaikan kepada kita yang belum dapat dijangka oleh sesiapa. Hanya Tuhan sahaja yang mampu menentukannya.

Dalam keadaan sekarang ia adalah dalam keadaan apa yang kita selalu dengar orang menyerah dengan ayat ‘laa hau la wala quwwata illa.....’ sahaja. Tiada lagi berdaya untuk sesiapa yang menyelesaikannya.

Tiada ulasan: