Muda Mohd. Noor
PETALING JAYA: Bekas menteri kabinet, Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa sistem pendidikan negara telah gagal dan kerana itu ia tidak boleh dipertahankan lagi.
Menurutnya, satu tindakan yang ikhlas, radikal dan berani diperlukan, walaupun memerlukan masa yang lama.
Tengku Razaeigh bagaimanapun, berkata, ia boleh dipercepatkan dengan mempelajari dan melihat kepada model yang telah terbukti berjaya di negara China, Korea Selatan dan Finland.
“Kita juga gagal dalam mempersiapkan tenaga mahir dan berketrampilan. Kurang lebih 20% graduan kita menganggur dan majikan swasta dan MNC lebih cenderung memilih graduan dari luar sistem kita.
“Renunglah apa yang berlaku sekarang. Perspektif mana pun yang kita pilih, seandainya kita jujur, akan meletakkan kita berada jauh daripada yang kita inginkan.
“Daripada empat tujuan yang saya sebutkan tadi, tiga masih gagal. Kita gagal dalam urusan penyepaduan, kita gagal dalam memperkaya dan memperdalam ilmu kerana kerana kita masih tergolong sebagai bangsa yang lebih kepada memanfaat teknologi daripada mencipta teknologi,” katanya di majlis makan malam anjuran badan bukan kerajaan mengenai pelajaran di Kuala Lumpur malam tadi.
Untuk memperbaiki sistem pendidikan, Tengku Razaleigh mengesyorkan supaya mengadakan pelan pendidikan negara 2013-2025.
11 aspek utama
Pelan ini, katanya antara lain menggariskan 11 aspek utama yang memerlukan anjakan signifikan untuk menjamin kejayaan walaupun tidak mungkin menghasilkan penyelesaian yang menyeluruh.
Namun, katanya, dasar tanpa perlaksanaan yang betul dan konsisten tidak mungkin berjaya. Oleh itu tumpuan khusus harus diberi untuk memantau dan memastikan perlaksanaannya.
“Kita juga harus menerima sebarang idea untuk pembaikan pelan ini serta diterap dan dilaksanakan bersama,” tambah beliau lagi.
Menurut Tengku Razaleigh, Malaysia berada di tangga 55 daripada 74 negara yang menyertai program penlaian pelajar antarabangsa untuk tahun 2009.
Katanya, dalam penilaian ini sebahagian besar pelajar berumur 15 tahun gagal memenuhi kelayakan minima – 60% untuk matematik, 44% membaca dan 43% dalam sains.
Manakala, kajian antarabangsa terhadap mata pelajaran sains dan matematik tahun 2007, juga menghasilkan keputusan hampir sama.
“Secara purata 20% pelajar kita tidak menepati keperluan minima dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut.Ia juga menunjukkan penurunan berbanding tahun 2003 dan trend ini pasti mengkhuatirkan.
“Anehnya ia tidak selaras dengan pencapaian cemerlang di peringkat nasional yang hampir setiap tahun dihebah-hebahkan secara besar-besaran?
“Apakah sistem penilaian kita rendah, tidak menepati standard dan tidak tepat sehingga kita cemerlang menurutnya tetapi gagal berprestasi apabila berdepan dengan penilaian antarabangsa yang lebih konklusif.” tambah Tengku Razaleigh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan