"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemilihan Umno: Nama Ku Li muncul lagi...

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
NIZAM ZAIN
KETIKA Umno dikatakan mahu menjadikan partinya lebih demokratik dalam menentukan pucuk pimpinan parti, nama yang tidak asing lagi meniti di bibir pemerhati ialah Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).
Ku Li digambarkan sebagai individu yang begitu mendambakan kedudukan Datuk Seri Najib Tuan Razak dalam Umno sejak sekian lama.

Maka tidak hairanlah, mungkin dek kerana sejarah lampau itu, nama Ku Li kembali menjadi sebutan tatkala pemilihan Umno semakin hampir.

Menurut Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara Profesor Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod, setiap kali menjelang pemilihan Umno, nama Ku Li akan menjadi sebutan untuk merebut jawatan nombor satu itu.

"Setiap kali adanya pemilihan parti nama Ku Li akan diangkat sebagai seorang calon yang akan bertanding menentang Najib," katanya ketika dihubungi oleh Sinar Harian Online.

Pemilihan Umno yang akan berlangsung tahun ini menyaksikan beberapa perubahan yang memberi kebaikan kepada parti itu dan menjadikannya lebih demokratik dan terbuka.

Beberapa pindaan besar telah dilakukan dalam Perlembagaan Umno pada 2009 sejak jawatan presiden parti disandang Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pemilihan parti yang dahulunya tertakluk kepada sistem kuota telah dipinda, di mana ia membolehkan jawatan presiden serta timbalan presiden parti dicabar oleh mana-mana ahli.

Malahan sistem kuota juga tidak lagi terpakai dalam pemilihan Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Kenyataan sama turut diperkukuhkan oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atau lebih mesra dengan panggilan Ku Nan.

Menurutnya, parti itu tidak menghalang mana-mana pihak untuk menawarkan diri bertanding termasuk bagi merebut jawatan nombor satu parti.

"Semua jawatan boleh bertanding. Semua jawatan dari peringkat presiden hinggalah ke jawatan Ahli Majlis Tertinggi.

"Hanya daftarkan diri... semua boleh bertanding," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal menegaskan, jawatan presiden dan timbalan presiden wajar dipertandingkan, tidak seperti pandangan beberapa pimpinan Umno, yang mahu ia kekal milik Najib.

Namun katanya, ia mestilah bertunjangkan semangat demokrasi matang, di mana tidak akan berlaku perpecahan apabila jawatan itu dipertandingkan kelak.

"Semangat demokrasi ini baik untuk ahli, namun jangan sampai amalan demokrasi ini boleh memecahbelahkan ahli parti, ianya tidak baik," katanya.

Sementara itu, menurut pensyarah Geografi Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Azmi Hasan, kenyataan Ku Nan supaya diadakan pertandingan bagi merebut jawatan dalam pemilihan Umno adalah sangat baik.

"Saya lihat amalan ini merupakan satu praktik demokrasi yang subur.

"Parti Umno sangat kuat sekarang, jadi tiada sebab kenapa pemilihan Umno tidak diwujudkan pertandingan (jawatan tertinggi)," katanya.

Sementara ketika ditanya mengenai calon yang sesuai untuk bertanding bagi jawatan presiden, beliau mengatakan ada desas-desus yang mengatakan bahawa Ku Li akan bertanding merebut jawatan tersebut.

"Kemungkinan Ku Li, namun begitu, saya lihat Ku Li tidak mendapat sokongan akar umbi.

"Beliau banyak mendapat sokongan daripada kalangan orang luar parti bukan ahli perwakilan Umno sendiri.

"Maknanya Ku Li harus berkerja kuat untuk menang jawatan tersebut," katanya.

Sementara itu Ketua Kluster, Politik, Keselematan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak, melahirkan kebimbangan apakah ahli Umno bersedia untuk mengambil risiko jika jawatan tertinggi parti itu dipertandingkan.

"Demokrasi membenarkan pertandingan, namun Umno perlu bijak menilai perkara ini," katanya.

Ini kerana pada pandangannya kepimpinan yang ada sekarang sudah cukup berwibawa untuk memimpin parti dan negara.

"Kepimpinan sekarang masih boleh bekerja, saya rasa mereka perlu meneruskan agenda transformasi mereka untuk memajukan parti dan negara," katanya.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah, Perlembagaan Umno yang tidak mengenakan sebarang syarat kepada mana-mana ahli parti yang ingin bertanding pada pemilihan kali ini dapat melibatkan lebih ramai ahli.

"Selain itu, langkah itu akan cuba meminimumkan politik wang pada pemilihan akan datang," katanya.

Ditanya kemungkinan jawatan tertinggi itu akan dicabar, beliau berkata Umno parti terbuka, mana-mana ahli boleh bertanding jawatan tersebut tanpa halangan.

"Ahli Umno kena berfikir secara serius.

“Apakah kita perlu mengganti jawatan presiden? Bagi saya kita perlukan usaha Najib sebagai presiden, tapi kalau ada orang lain hendak bertanding, kita tidak boleh menghalang.

“Setakat yang saya dengar, tiada ada mana-mana nama yang ingin mencabar jawatan presiden Umno," katanya.

Tiada ulasan: