"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerana Wan Azizah 2 Adun Pas rela keluar parti?

ADUN PAS dari Hulu Kelang, Saari Sungib bersedia untuk keluar parti jika PAS kekal menyokong Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim selepas mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada 17 Ogos ini.
Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan wartawan selepas sidang media tengah hari tadi.

"Kalau itu antara pilihan di antara parti dan saya, saya bersedia," katanya.

Beliau ditanya jika beliau sanggup berbuat demikian jika PAS kekal dengan pendirian mereka sekarang dalam krisis menteri besar Selangor.

Saari dan ADUN Morib Hasnul Baharuddin hari ini menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor bagi menggantikan Khalid.

Saari berkata, mereka berbuat demikian kerana "dasar PAS yang bersama-sama Pakatan Rakyat".

"Saya bergerak dari satu asas iaitu polisi dan dasar PAS untuk bersama-sama Pakatan dan polisi ini saya sokong untuk membolehkan Pakatan terus memerintah dan mentadbir Selangor," kata Saari.

Menurutnya, beliau yakin baki 13 orang ADUN PAS lain akan menurut jejak langkah beliau.

"Saya percaya rakan-rakan ADUN dari PAS juga akan mengambil langkah yang sama," katanya selepas sidang media Wan Azizah di Subang tengah hari ini.

Saari juga yakin mesyuarat ahli Jawatankuasa Pusat PAS pada 17 Ogos ini akan memutuskan untuk terus berada bersama Pakatan.

"Saya yakin selepas 17 hari bulan, sekiranya benar apa yang saya yakini PAS tidak akan berganjak daripada Pakatan Rakyat.

"Saya anggap memperkukuhkan Pakatan di Selangor tidak bertentangan dengan PAS," katanya.

Hasnul pula berpendapat pentadbiran Khalid sekarang tidak lagi menjunjung semangat Pakatan selepas beliau mengumumkan kerajaan Pakatan tidak wujud lagi di Selangor.

"Saya sebagai YB Morib mengambil langkah yang sama dengan YB Hulu Kelang untuk menyokong kerajaan Pakatan di Selangor.

"Semangat dan roh Pakatan itu tak ada pada menteri besar dan saya bersama Pakatan untuk memerintah negeri Selangor sebenar-benarnya," katanya.

Beliau turut mengkritik Khalid yang menurutnya "merosakkan Selangor jam demi jam".

"Kerosakan yang dilakukan Khalid kepada Selangor bukan setakat minggu ke minggu tetapi on an hourly basis (jam demi jam)," katanya.
-malaysiakini-
 --------------------------------
PAS Selangor memberikan tempoh 24 jam kepada dua wakil rakyatnya yang menyatakan sokongan terbuka kepada Datuk Seri Wan Azizah Ismail untuk meminta maaf dan menarik balik pendirian itu.
Tuntutan itu dibuat ekoran tindakan itu dianggap membelakangi parti yang belum membuat keputusan sempena menunggu mesyuarat jawatankuasa pusatnya pada Ahad ini.

"Tindakan dua ADUN (anggota Dewan Undangan Negeri) PAS di Selangor yang membelakangi pendirian parti amatlah serius dan kita akan bertindak.

“PAS Selangor memberi tempoh 24 jam untuk menarik balik pendirian dan tindakan yang dibuat atau menghadapi konsekuensi tindakan,” kata setiausaha PAS negeri Mohd Khairuddin Othman (kanan).

Dua ADUN PAS, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) hari ini tampil menyatakan sokongan terhadap Azizah.

Saari berkata, mereka berbuat demikian kerana “dasar PAS yang bersama-sama Pakatan Rakyat" dan beliau juga yakin mesyuarat ahli penting PAS minggu akan akan memutuskan terus bersama PKR dan DAP.

Lihat kembali baiah

Dalam kenyataannya petang ini, Khairuddin berkata, tindakan Saari dan Hasnul itu tidak menurut tatacara dan arahan parti, gopoh dan “terlalu taksub”.

“PAS mempunyai organisasi negeri, kepimpinan pusat dan Majlis Syura Ulama yang harus kita patuh. Mengapa terlalu gopoh dan terlalu taksub sehingga parti di belakangkan.

“Bukankah PAS pusat akan bermesyuarat pada 17 haribulan ini?" kata Khairuddin sambil meminta dua ADUN itu sabar menunggu mesyuarat penting itu.

Beliau justeru “menasihatkan” dua ADUN itu menarik balik pendirian mereka atau PAS Selangor akan mulakan tindakan disiplin.

Ini katanya termasuk “melihat kepada kandungan baiah yang telah dilafazkan sewaktu menjadi calon”.

Pusat mahu laporan

Sementara itu, PAS Pusat telah meminta PAS Selangor memberi laporan berhubung isu dua ADUN PAS negeri itu.

Harakahdaily memetik Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali sebagai berkata beliau telah menghubungi Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad petang ini dan meminta laporan penuh berhubung perkara itu.

"Saya telah menghubungi pesuruhjaya PAS Selangor supaya memberi laporan tentang dua orang ini supaya kita dapat gambaran sebenar," katanya dalam laporan Harakahdaily.

Mustafa berkata PAS akan menyiasat perkara itu dan akan mendapatkan gambaran sebenar.

Menurut Harakahdaily, sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan Khalid untuk kekal sebagai menteri besar Selangor berikutan beliau tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.

Menurutnya, pandangan serupa dinyatakan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Malah, lapor Harakahdaily Majlis Syura Ulama PAS juga menetapkan pendirian agar Khalid dikekalkan jawatan itu sekiranya beliau tidak disabitkan dengan sebarang kesalahan berhubung pecah amanah.

Tiada ulasan: