"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Beberapa Pilihan Terbuka Untuk Khalid Kekal Sebagai MB

PETALING JAYA: Tan Sri Khalid Ibrahim kekal sebagai menteri besar Selangor buat masa ini walaupun dipecat daripada PKR, tetapi penyingkirannya boleh membawa kepada beberapa kemungkinan, termasuklah pilihan raya negeri diadakan.

Terdapat juga kemungkinan beliau akan menyertai PAS, yang telah memberi sokongan kepadanya untuk kekal sebagai menteri besar, berserta sokongan wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Peguam Syahredzan Johan berkata gabungan parti politik tidak mempunyai sebarang kesan terhadap kedudukan seorang menteri besar memandangkan keputusan mengenai jawatan itu bergantung kepada sokongan daripada majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

"Perkhidmatan awam negeri juga tidak akan terjejas dengan pemecatan Khalid daripada PKR, tetapi akan ada ketidakpastian di peringkat pentadbiran atasan," kata Syahredzan.

Beliau berkata, ini kerana barisan exco negeri termasuk daripada PKR turut memecat beliau.

"Jadi persoalannya adalah, adakah exco daripada PKR akan terus mengikut arahannya?" katanya.

Syahredzan berkata dengan pemecatan Khalid, PKR akan berusaha untuk memastikan bahawa beliau juga telah kehilangan sokongan daripada DUN, satu keperluan penting untuk menyingkirkannya dari pejabat menteri besar.

Beliau berkata, ini boleh dilakukan melalui tidak percaya dalam DUN atau mengemukakan petisyen sumpah oleh ahli-ahli DUN bahawa Khalid tidak lagi mendapat sokongan majoriti.

"Jika boleh dibuktikan bahawa Khalid tidak lagi mendapat sokongan majoriti, beliau boleh membuat pilihan sama ada meletakkan jawatan atau meminta Sultan membubarkan DUN untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri," kata Syahredzan.

Syahredzan memberitahu, Khalid juga boleh mencabar pemecatan beliau di mahkamah dan ia terpulang kepada hakim yang mendengar kes itu untuk mentafsir undang-undang, walaupun Akta Pertubuhan telah dipinda supaya keputusan yang dibuat oleh parti politik tidak boleh dicabar.

Pindaan dibuat terhadap Akta itu selepas Umno diisytiharkan haram oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 1988 berikutan pertikaian dalaman.

Edmund Bon, dari firma undang-undang yang mewakili Khalid, enggan mengesahkan sama ada Khalid akan mencabar penyingkiran beliau di mahkamah.

"Tunggu dan lihat," katanya.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak Khalid menjelaskan, Khalid masih boleh mendapat sokongan majoriti dari DUN dan mendapatkan restu Sultan untuk kekal di pejabatnya walaupun dipecat daripada PKR.

Mustafa berkata, mengikut senario ini, mungkinkah Khalid akan menyertai PAS.

"Ia perkiraan yang mudah. Dia mungkin akan menyertai parti yang mempunyai paling banyak kerusi," kata Mustafa.

Sebelum pemecatan Khalid, PAS dan DAP kedua-duanya mempunyai 15 kerusi di DUN, PKR 14 dan Umno 12.

Penyokong Khalid percaya bahawa BN dan wakil PAS akan menyokongnya jika usul tidak percaya dibentangkan.
-mstar-

Tiada ulasan: