Timmy Say
Institut Dar ul Ehsan (IDE) menyatakan kemarahan orang Melayu terhadap DAP berganda selepas perpecahan Pakatan Rakyat berdasarkan kajian yang dijalankan pada 13 hingga 15 November tahun lalu.
Majoriti orang Melayu yang ditinjau bersetuju terhadap 3 perkara mengenai DAP iaitu parti ini hanya menjaga kepentingan masyarakat Cina, anti Melayu dan anti Islam. Ini bukti mereka tidak menyalahkan DAP atas keadaan semasa dan ekonomi negara.
Satu-satu persepsi boleh dicipta melalui serangan musuh dan serangan terhadap musuh. Ada sebahagian persepsi terbina melalui tindakan sendiri.
Sebagaimana DAP menjauhkan rakyat bukan Islam daripada PAS melalui serangannya, musuh DAP turut melakukan perkara yang sama terhadap DAP.
Memang mudah untuk DAP untuk menyalahkan Umno dan PAS atas kelahiran angin "asal bukan DAP" (ABD).
Hakikatnya, ABD ialah hasil daripada pendekatan politik DAP untuk bermusuh dengan PAS dan Umno.
Cuma DAP tidak tersangka kempen bertubi-tubi mereka memburukkan PAS dan membantah perlaksanaan hukum jenayah syariah di 2015 meninggalkan kesan sampingan yang sebegitu mendalam dalam menyemai status DAP sebagai parti anti Islam.
Strategi politik mereka ini pada 2015 menjauhkan mereka daripada undi orang Melayu yang dikejar mereka selama ini.
Malah, usaha DAP untuk mengubah persepsi yang ia bukan sebuah parti Cina mahupun perkauman kini bukan sahaja terbantut bahkan sudah undur beberapa langkah ke belakang dengan suburnya persepsi di kalangan pengundi Melayu yang DAP hanya menjaga kepentingan masyarakat Cina.
Persepsi ini dipercayai adalah dorongan di sebalik saranan terbuka seorang pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) Johor agar DAP tidak meletakkan calon Melayu di Johor.
Cadangan tersebut juga memperlihatkan kegelisahan Amanah. Sekiranya orang Melayu berpandangan begitu terhadap DAP, apa pula pandangan mereka terhadap Amanah, yang masih sedang bergelut persepsi umum yang mereka adalah proksi DAP?
Apapun, saranan pemimpin Amanah Johor ini adalah bukti terbaik yang persepsi DAP tidak disukai di kalangan orang Melayu juga subur di kalangan Pakatan Harapan.
Bagaimana pula dengan PKR? Sudah tentu parti ini tidak mahu terpalit dengan persepsi orang Melayu terhadap DAP, tatkala sebahagian besar kerusi yang ditandingi mereka adalah di kerusi majoriti Melayu.
Akan tetapi, pada masa yang sama, parti ini juga tidak mahu orang bukan Melayu menjauhkan diri daripadanya kerana mereka mahu bersama PAS.
Dengan perjanjian Pakatan Harapan yang tidak lagi mengambil sikap bersetuju untuk tidak bersetuju, semua sedar gabungan pembangkang ini akan diuji dengan kelantangan DAP memperjuangkan kes isu sensitif seperti perebutan hak penjagaan anak antara mualaf, kebebasan beragama dan juga pengumuman bersifat populis. Membantah membawa pertikaian terbuka, menerima pula terkena tempias angin ABD.
Oleh itu, yang nyata, pada akhirnya, PKR dijangka hanya akan berusaha untuk memastikan tiada perang 3 penjuru di mana-mana kerusinya sahaja. Parti rakan lain boleh berperang semasa sendiri asalkan kerusi PKR dipertahankan untuk bertemu BN satu lawan satu.
Dengan maraknya angin ABD di kalangan Melayu sementara Asal Bukan Umno dan PAS pula ditiup di kalangan orang bukan Melayu, dijangka Pilihan Raya Umum ke-14 akan menyaksikan pertempuran politik terburuk berlaku di Pulau Pinang yang dikuasai DAP.
Bagi mereka yang beriman kepada persepsi dan sering menggunakannya sebagai hujah dan dalil dalam menuduh PAS ingin bersama Umno, janganlah pula cepat mengata orang Melayu yang berpendapat sedemikian terhadap DAP adalah terdiri daripada golongan yang tidak bijak atau tidak cukup maklumat; sementara mulut mereka terus memuji-muji orang bukan Melayu bijak dan mendapat maklumat yang cukup ketika berpersepsi buruk terhadap PAS.
Bukankah politik itu persepsi? Atau kalian kini bersetuju ada keperluan untuk melanggar persepsi seperti penulis? Dunia ini memang bulat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan