'Saya mencontohi dakwah Tok Guru’
Nik Omar ditemubual Mohd Zailani di Pulau Melaka, baru-baru ini.
WALAUPUN dipalit dengan isu menyertai Amanah, wajahnya cukup tenang, jawapannya juga bersahaja, malah jauh daripada emosi.
Perwatakan Nik Omar Nik Abdul Aziz, anak kedua Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggambarkan beliau seorang yang tidak mudah melatah walaupun diterjah dan dikritik ekoran kenyataan yang dikatakan berpihak kepada Amanah.
Ikuti pandangan politik beliau yang dikongsi bersama Ketua Wartawan Sinar Harian Kelantan, Mohd Zailani Abd Rahman dan jurufoto, Jazaly Amry Jaafar pada temu bual bersamanya di Pulau Melaka baru baru ini.
Timbul kontroversi ustaz akan menyertai Amanah? Apa pendirian sebenar ustaz?
Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Rahim pun sudah nafikan, macam saya sebut, bukan sahaja Amanah, tetapi sekiranya Umno ajak pun saya pergi, adakah jika saya pergi saya sudah jadi orang Umno atau hendak bergabung dengan Umno.
Beberapa pendekatan dan pandangan ustaz dilihat condong kepada Amanah?
Pertamanya politik adalah kehidupan, sama ada dia terlibat secara langsung atau tidak, semua boleh bagi pandangan, mungkin didikan atau ilmu pengalaman apa yang kita tengok dalam kehidupan.
Kedua, mungkin timbul pelbagai persepsi, selepas ketiadaan Tok Guru, saya secara peribadi menghormati kepimpinan termasuk Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, namun selepas pemergian Tok Guru, kita berselisih pandangan dalam Pas dan berakhir pada Muktamar, hampir keseluruhan AJK Pas Pusat ketika itu kalah, sama ada dirancang atau kebetulan kumpulan yang kalah itu telah bentuk satu pemikiran iaitu profesional atau aktivis, saya lihat semasa selisih pandangan pada masa itu tiada usaha yang serius atau mungkin ada tetapi kita tidak tahu sebab kita ahli biasa, tetapi bacaan umum tiada usaha yang serius untuk selesai permasalahan di sudut dalaman.
Ia berkait dengan penerusan gagasan PR itu sendiri, ini adalah faktor utama sehingga kita lihat apa yang berlaku sehingga hari ini. Mungkin presiden dan kepimpinan hari ini melihat zaman mereka tidak sama ketika Tok Guru.
Kumpulan profesional yang membentuk G18, pemikiran mereka diperlukan ketika itu, saya berpendapat suasana politik hari ini perlu untuk kita bagi peluang kepada parti baru. Pandangan-pandangan ini yang menyebabkan orang melihat itu berbeza, saya bukan jadi ahli Amanah, kalau Umno minta pergi ceramah, saya pergi, itu kalau Umno, apatah lagi kalau sama-sama sendiri.
Amanah dan Pas ini kita kena lihat dari sudut dasar, dasar Pas adalah Islam. Amanah pun sama, tiada perbezaan, sama-sama nak perjuangkan Islam, cuma yang berbeza dari sudut pendekatan dan ia tidak membabitkan akidah.
Saya lebih suka, sejak dulu lagi perkara ini diselesaikan dalam perbincangan dalaman, macam mana pun Amanah ini anak kepada ibu yang sama, rahim yang sama (dengan Pas), kepimpinan yang ada sekarang asalnya puluhan tahun dalam Pas.
Ada mengaitkan tindakan ustaz tidak menyertai Amanah disebabkan menghormati ibu?
Apabila timbul persepsi jadi kita rai semuanya, terutamanya ibu, memanglah ibu itu keutamaan kita dalam kehidupan.
Adakah ustaz akan jadi ahli Pas seumur hidup?
Sama ada jadi ahli Pas seumur hidup atau tidak, saya sejak balik dari Mesir, saya terus isi borang seumur hidup.
Ustaz mempunyai pandangan yang berbeza yang dilihat tidak sealiran dengan ulama dalam Pas?
Beza pandangan tiada masalah, malah dalam Pas ini, selepas muktamar pandangan dan pendekatan juga berbeza, cuma kita masih di bawah satu payung yang sama, kalau saya berbeza pandangan, akhirnya kepimpinan buat keputusan.
Sejauh mana ustaz mengiktiraf peranan Amanah?
Dari sudut realiti kita kena terima kewujudan Amanah dan secara peribadi kewujudan Amanah, berbeza dengan Hamim dan Berjasa, setakat yang saya faham, itu lebih kepada isu peribadi, dua-dua akhirnya merujuk kepada Umno.
Adapun Amanah ini, saya tidak nampak isu peribadi, ia isu prinsip, iaitu berkaitan dengan pendekatan yang mereka rasa ia prinsip asas dalam usaha politik untuk menang dalam pilihan raya, yang kedua, Amanah ini ia tidak nampak nak bawa kepada Umno, keseluruhan kepimpinannya sama ada negeri dan pusat bila bercakap nak menjatuhkan Umno melalui sistem demokrasi.
Dalam satu sudut kita kena terima kewujudan Amanah, malah dari sudut hukum sekalipun ia tidak salah, seperti hukum Fekah sehingga melahirkan pelbagai mazhab, begitu juga dari segi politik, kita saling lengkap melengkapi.
Adakah ustaz kecewa dengan Pas sekarang?
Saya hanya ahli Pas biasa, sepanjang kita hidup bersama Tok Guru kita tahu usaha membina PR bukan masa yang singkat, belasan tahun Tok Guru terlibat, kalau ikut sejarah Tok Guru dalam politik, keutamaan dia bukan parti, parti ini adalah alat sahaja, yang penting Islam dan dakwah, oleh itu dakwah ini tidak terikat dengan bangsa, ia untuk seluruh manusia, bahkan Islam rahmat bukan untuk manusia sahaja tetapi makhluk termasuk tumbuh-tumbuhan dan binatang, itu yang selalu Tok Guru peringat, kita lihat apa yang boleh sampaikan dakwah kepada manusia termasuk kepada bukan Islam Tok Guru ambil peluang.
Bila wujudkan PR ini, Tok Guru begitu teruja, selepas letak jawatan sebagai Menteri Besar dan dalam keadaan sakit beliau dua kali sebut di dua tempat berbeza, katanya ayah tatang Pakatan (PR) bagaikan anak sendiri, sebagai anak kita boleh terima sebab Tok Guru kehidupan dia adalah dakwah. Kehidupan dia menyampaikan dakwah kepada manusia melalui Islam.
-sinarharian-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan