KOTA BHARU: Adakah Kerajaan Kelantan mampu mentadbir negeri itu dengan sempurna atau tidak kini menjadi persoalan selepas kalah kes mereka di mahkamah untuk dua hari berturut-turut.
Pada 28 Februari lalu, anak syarikat kerajaan negeri, Baldah kalah dalam kes saman projek Lebuhraya Rakyat manakala hari ini mahkamah yang sama membenarkan permohonan peniaga pasar besar Pasir Puteh menghalang perpindahan mereka ke pasar baru.
Menurut bekas Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa, Kerajaan Kelantan masih goyang kaki dengan kekalahan dua kes di mahkamah.
“Samada kepimpinan Kerajaan Kelantan kini mampu mentadbir Kelantan dengan sempurna, boleh dinilai melalui kes-kes mahkamah yang sedang berjalan kini,” kata Husam yang kini Penasihat AMANAH Kelantan dalam satu kenyataannya.
Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu membuat keputusan menyebelahi Dae Hang Guru dalam samannya ke atas anak syarikat kerajaan negeri – Baldah.
Penamatan kontrak sepihak yang dibuat oleh kerajaan megeri melalui Baldah diputuskan oleh mahkamah sebagai melanggar kontrak atas ikatan yang sah dan telah termetrai.
Jumlah bayaran pampasan akan ditaksirkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu kemudian.
Semalam, 1 Mac pula, Mahkamah Tinggi yang sama membenarkan permohonan peniaga-peniaga Pasar Besar Pasir Puteh menghalang arahan berpindah ke pasar baru yang tidak memuaskan hati mereka. Pendengaran penuh akan berlaku pada 26 Mac 2017 ini.
Selain kedua-dua kes itu, menurut Husam, ada banyak lagi kes lain yang sedang menunggu perbicaraan di mahkamah.
Antara permohonan 348 peneroka Felcra Bukit Tandak terhadap kerajaan negeri. Selain itu, kerajaan negeri atau Pas negeri juga terlibat dengan saman berikut:
1. Saman ke atas Kijang Kuari.
2. Saman balas ke atas Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK).
3. Saman ke atas dua pimpinan Pas berkait sebidang tanah di Rantau Panjang.
4. Saman oleh Encik Ya’akob bin Awang ke atas Baldah dan pengurusnya.
5. Saman Orang Asli ke atas Kerajaan Negeri dan beberapa agensi.
“Sepanjang saya di mahkamah, saya tidak melihat adanya mana-mana pimpinan kerajaan negeri memantau perbicaran kes-kes terbabit,” kata Husam.
Bagi beliau, tindakan ini agak berbeza dari zaman tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat menjadi Menteri Besar dahulu.
“Apa punca banyaknya kes-kes di bawa ke mahkamah? Kecekapan Kerajaan Negeri atau kelemahannya?” soal Husam dalam kenyataan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan