"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPRM serbu rumah exco Johor, rampas kereta,150 beg tangan (Gambar)


Kira-kira 150 beg tangan adalah antara barangan yang dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu serbuan di rumah exco Johor, Datuk Abd Latif Bandi.

Berdasarkan gambar serbuan itu, antara beg tangan yang dirampas termasuk jenama-jenama mewah seperti Chanel, Hermes, Prada, Luis Vutton dan Gucci.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sekiranya beg tangan itu adalah asli.

Menurut sumber SPRM, barangan lain yang dirampas dalam serbuan itu termasuk RM41,000 dalam bentuk wang tunai dan sebuah kereta Toyota Vellfire.

Abd Latif awal hari ini ditahan oleh SPRM berhubung kes rasuah berkaitan dengan penukaran hak milik tanah bumiputera.

Sumber SPRM memberitahu Malaysiakini bahawa serbuan itu dilakukan pada kira-kira jam 11 pagi, sejurus selepas penangkapan Abd Latif di pejabat SPRM di Johor Bahru di mana beliau disoal siasat.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM dan Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Sebelum ini, SPRM menahan enam individu atas dakwaan rasuah melibatkan penukaran hak milik tanah bumiputera bagi mendapatkan sogokan.

SPRM turut menahan anak Abd Latif dan pegawai khas anggota exco itu. Selain itu suruhanjaya itu merampas 26 kenderaan mewah dan membekukan 45 akaun bank berkaitan kes itu.
-

Tiada ulasan: