Muhaimin Sulam
Filem P Ramlee khususnya yang diterbitkan pada tahun 1950-an adalah gambaran tentang perkembangan tulisan Rumi dan Jawi.
Dalam banyak-banyak filem P Ramlee, aku pilih filem Pendekar Bujang Lapok sebagai mauduk perbincangan.
Filem itu ditayangkan pada 1959, dua tahun selepas Malaya merdeka. Filem itu dikeluarkan oleh Run Run Shaw, syarikat perfileman di Singapura.
Seluruh kekuatan filem itu sebenarnya dicetuskan oleh kreativiti P Ramlee dan rakan-rakan senimannya.
Biarpun skrip asalnya ditulis oleh P Ramlee, namun pelakon lain khususnya - Aziz Satar dan S Shamsuddin - diberikan kebebasan membuat skrip spontan.
Ini kelebihan seniman waktu itu bagi memastikan lakonan mereka lebih hidup. Bukan dibuat-buat walaupun pada realitinya ia hanyalah lakonan.
Rencana ini bukan tulisan tentang P Ramlee, tetapi tentang bagaimana P Ramlee menggunakan elemen tulisan Rumi dan Jawi sebagai gambaran situasi pada masa itu.
P Ramlee sudah tiada, manakala Jawi pula hanya tinggal nyawa-nyawa ikan saja. Aku dibesarkan sewaktu P Ramlee di era kejatuhannya.
Pada hari P Ramlee meninggal dunia, aku ikut sedih. Aku tidak pernah menonton filem lakonan beliau ketika itu. Hanya lagu-lagunya yang kudengar di corong-corong radio.
Tragedi dan komedi Melayu
Tahun 1973, kampung aku tiada elektrik. Jarak antara rumah aku dengan pekan Teluk Intan tidak sampai pun 10 batu (16km) tetapi hanya dapat menikmati elektrik sekitar tahun awal 1980-an.
Aku belajar Jawi pula di madrasah ataupun sekolah Arab yang tidak jauh dari tangga rumah aku. Apabila berada di sekolah menengah, pelajaran Pengetahuan Agama Islam diajar melalui tulisan Rumi.
Aku pun lebih cekap menulis Rumi berbanding Jawi. Masuk ke universiti, nasib baik terpaksa ambil bahasa Arab, sempatlah simpan kemahiran menulis Jawi. Itupun seminggu hanya belajar tiga jam sahaja. Yang lain, aku belajar menggunakan tulisan Rumi.
P Ramlee, Jawi dan Rumi? Ahhh, seperti tiada relevan untuk digandingkan dalam artikel ini.
Barangkali tulisan ini akan sedikit berbaur drama dengan historis yang ada unsur tragedi dan komedi. Ya, ini mungkin kesan pengaruh daripada pembacaan aku pada falsafah Aristotle.
P Ramlee dan Jawi adalah tragedi dan komedi untuk orang Melayu. Inilah drama yang aku mahu ajak kalian berfikir sebentar.
Aristotle menyebutkan bahawa tragedi itu berkaitan spoudaia ataupun perkara yang serius. Manakala komedi memberi makna, sesuatu yang bertentangan dengan tragedi dan sesuatu yang kurang penting.
Tragedi dan komedi wujud dalam pentas yang sama. Pada drama yang sama.
Kritikan tajam, mengejut
Benarlah Shakespeare yang menyebut dalam dramanya - bertajuk As You Like It pada 1599. Katanya: "All the world’s a stage. All the men and women merely players. They have their exits and entrances."
Maksudnya, dunia ini pentas sandiwara. Kesemua lelaki dan perempuan adalah para pelakonnya. Masing-masing mempunyai (waktu) keluar dan masuknya.
Dalam komedi P Ramlee, ada makna tragedi yang hendak diselitkan oleh Seniman Agung itu pada penonton. Memang itulah kekuatan P Ramlee, iaitu mengarap unsur komedi untuk menyindir atau mengkritik hal-hal dalaman masyarakat secara terbuka.
Dalam ketawa, sambil-sambil mengena. Malangnya, penonton hanya merasai jenakanya semata-mata tanpa ingin memikirkan lebih jauh daripada itu.
Pada penonton, itu hanyalah lakonan dalam filem, tidak lebih daripada hiburan semata-mata. Tidak. Ia adalah kritikan yang sangat tajam dan mengejutkan.
Melalui Pendekar Bujang Lapok, sekurang-kurangnya ada tiga adegan yang menunjukkan tulisan Rumi. Pertama, pada adegan awal apabila sebuah papan tanda tertera ‘PENAMBANG KAMPONG SUNGAI KEMUNTING’ kelihatan tergantung di atas jeti.
Kedua, pada minit 60:32, ketika adegan Bujang Lapok pergi ke sebuah sekolah umum.
Dan yang terakhir, pada minit 52:53 yang menunjukkan papan tanda Rumi yang tertulis nama kampong sebagai ‘JALAN KG PINANG SEBATANG’.
Secara keseluruhannnya ia menunjukkan tulisan Rumi sudah meluas digunakan sebagai wadah komunikasi di tempat-tempat penting seperti sekolah, pusat komersil (jeti) dan juga papan tanda nama tempat (nama kampung).
P Ramlee dalam filem tersebut telah mendedahkan suasana pembelajaran zaman itu. Hal ini dapat dilihat pada minit ke-60 apabila watak Bujang Lapok pergi ke sekolah umum dan diperlihatkan bagaimana pelajar diajar tulisan Jawi.
Walaupun huruf Rumi sudah digunakan sebagai papan tanda ketika itu tetapi dalam sistem pembelajaran di sekolah, tulisan Jawi masih penting dan diajar.
Sebaliknya kini, tulisan Jawi sedikit demi sedikit merangkak masuk ke balai muzium - sebagai bahan pameran - dan ke Arkib Negara - sebagai bahan kajian dan simpanan zaman.
Ia menjadi khazanah untuk dipertontonkan buat generasi muda orang Melayu dan masyarakat luar yang berminat tentang bidang arkeologi atau antropologi Melayu.
You kutuk apa?
Pada minit 21:31, ketika babak Bujang Lapok menghampiri sekolah yang ada sebuah papan tanda Rumi yang tertulis ‘SEKOLAH UMUM BUTA HURUF’. Sebaliknya dibaca sebagai "alif, min, nun, wau" dan disebut sebagai "sarkis" oleh S Shamsuddin.
Di dalam buku tulisan Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain Seniman Agung P Ramlee terbitan Karangkraf (1984) ada mencatatkan peristiwa di sebalik dialog itu.
Sejurus selepas Filem Pendekar Bujang Lapok diumum memenangi kategori komedi terbaik Festival Filem Asia keenam di Kuala Lumpur (1959).
Dalam buku tersebut menyebut bahawa Tan Sri Ghazali Shafie yang ketika itu Menteri Kebudayaan dan Penerangan berjumpa P Ramlee di tempat duduk peserta dan bertanyakan beberapa soalan berkenaan kejayaan beliau mengondol anugerah Asia.
Aku kurang pasti, dan setahu aku, Ghazali menjadi menteri kabinet hanya di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak Hussein.
Aku petik dari buku itu dialog P Ramlee dengan Ghazali.
Ghazali: Tahulah, tapi macam mana you boleh menang dan macam mana juri dari Hong Kong, Jepun dan dua orang juri jemputan dari Australia boleh pilih filem you sedangkan mereka tak faham bahasa kita?
P Ramlee: Filem dan lagu tidak memerlukan bahasa yang khusus. Seni adalah bahasa universal.. Gua (saya) hasilkan seni dari gua untuk masyarakat dan dari masyarakat untuk gua. Ada nasihat ada sindiran dan teguran agar masyarakat boleh berfikir... Gua pun kutuk lu punya geng juga.. (sambil ketawa).
Ghazali: You kutuk apa? I tak nampak pun..
P. Ramlee: Alif mim nun wau tu lu punya geng la..
Ghazali: Hah.. I tak faham la..
P Ramlee : Alif itu akal, wau itu ugama. Alif tendang wau - sarkis, bermakna akal tendang (tolak ) agama maka manusia akan menjadi seperti binatang-binatang sarkis, hidup tanpa agama ini hanya layak untuk (makhluk) bukan manusia saja. Alif min nun wau kan bunyinya Umno.
Setakat ini, inilah satu-satunya sumber bertulis (yang aku jumpa) tentang cerita di sebalik dialog tersebut.
Jika ini boleh dijadikan hujah bahawa P Ramlee memang sengaja mengkritik Umno menerusi dialog filem Pendekar Bujang Lapok, apakah yang mendorong beliau menyindir sebegitu tajam?
Tentu ada peristiwa-peristiwa politik besar yang mendorong P Ramlee mengkritik Umno. Ini pasti berkaitan dengan konteks semasa yang menjadi latar belakang sesuatu karya itu dihasilkan. Sedangkan Umno secara umum ketika itu dipandang sebagai parti yang membawa kemerdekaan kepada Malaya.
Sumbangan Umno sangat besar ketika itu. Filem Pendekar Bujang Lapok itu diterbitkan dua tahun selepas Malaya merdeka. Tentu sekali sentimen rakyat pada Umno sangat kuat.
Umno melalui Perikatan telah menang semasa dalam pilihan raya umum 1955 dengan mencatat kejayaan cukup bergaya.
P Ramlee tinggal dan berkarya di Singapura yang secara politiknya terpisah dengan Malaya tetapi berkongsi budaya dan sosial sama.
Singapura adalah pusat pembangunan dan kemajuan serta sebuah kota yang dihuni oleh pelbagai kaum. Singapura - seperti juga Pulau Pinang - banyak membentuk pemikiran P Ramlee dalam berkarya.
Dalam filem-filemnya, P Ramlee cuba mempamerkan wajah Malaya yang pelbagai kaum.
Jika diambil dialog P Ramlee dengan Ghazali seperti dicatat Abdullah, kritikan seniman itu terhadap Umno adalah kerana parti berkenaan tidak menggunakan akal dan membuang agama!
Aku cuba mencari fafsiran agama mengikut pandangan P Ramlee terutama di Singapura. Ternyata sukar. Tema, jenis filem dan lagu-lagunya pelbagai. Hiburan, sosial, jenaka, agama, sejarah dan bermacam-macam.
Namun disebalik karya-karyanya itulah tersimpan rahsia mengapa P Ramlee menyindir Umno sebagai sarkis.
P Ramlee dalam filem Pendekar Bujang Lapok bukan saja memberi gambaran keadaan masyarakat kita pada zaman tersebut tetapi suatu gambaran masa kini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan