"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRU14: Adakah PAS masih relevan di Kelantan?

Mohd Shazwan Abd Halim
Kelantan atau “Serambi Mekah” adalah negeri yang dulunya digeruni dan sukar ditembusi Barisan Nasional (BN), mahupun Umno sejak 1990 di bawah kepimpinan dan ketokohan bekas mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Nik Aziz menjadi simbol perjuangan rakyat Kelantan seperti watak Che Guevara menjadi simbol penentangan terhadap kapitalisme dan King Martin Luther menjadi simbol perjuangan kebebasan dan kesaksamaan kaum kulit hitam.

Di bawah kredibiliti beliau, PAS kekal kukuh memerintah dan jiwa orang Kelantan seakan sudah sebati dengan bendera “Bulan” dengan latar hijau di belakangnya.

Ia ibarat sebutir permata berharga yang perlu dimiliki bagi meruntuhkan ego dan moral musuh, mungkin juga sebagai lambang jatuhnya panji musuh di kubu terakhir yang paling kukuh.

Sekatan dan diskriminasi

Segelintir masyarakat cukup sinis dengan kemampuan PAS mentadbir Kelantan dan membayar gaji penjawat awam ketika mengambil alih negeri itu daripada Umno dengan sumber kewangan terhad dan hutang yang tinggi.

Tetapi hasil kombinasi Nik Aziz dan bekas exco Kelantan dalam Perancangan Ekonomi, Kewangan Dan Kebajikan Datuk Husam Musa, Kelantan kekal 26 tahun di bawah pemerintahan PAS dengan segala jenis sekatan dan diskriminasi.

Selain kaya dengan hasil hutan, Kelantan juga mempunyai sumber gas dan petroleum di pesisir pantainya.

Walaupun terdapat pertikaian dari sudut perundangan dan Perlembagaan, perjanjian antara kerajaan negeri dan Petronas pada 1975 jelas menggariskan Kelantan berhak menuntut 5% daripada hasil petroleum negeri itu yang dianggarkan berjumlah antara RM850 juta hingga RM1 bilion.

Pada 2009, pimpinan Husam mengadakan gerakan menuntut royalti minyak dengan menggunakan logo “R” dengan latar merah di belakangnya dan ia disambut baik rakyat oleh rakyat Kelantan.

Pelekat “R” itu dilekatkan di kereta, motosikal mahupun kenderaan awam lain dan ia dapat dilihat di mana-mana saja baik di Kelantan mahu pun di Lembah Klang.

Banner “R” gergasi ditambah “flashmob” sekumpulan penyokong dapat dilihat dengan jelas ketika perlawanan akhir bola sepak pasukan TRW menentang pasukan JDT di stadium Bukit Jalil, menjadi penanda aras isu ini berjaya dibawa rakyat Kelantan ke seluruh Malaysia.

Hak royalti bagaimanapun dinafikan kerajaan BN meskipun usaha menyalurkan royalti kepada rakyat Kelantan dikepalai bekas pengerusi Petronas, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dengan sokongan kuat bekas ketua hakim negara, Tun Salleh Abas.

Kebangkitan rakyat Kelantan

Rakyat Kelantan membayar harga yang mahal memilih PAS, baik dari sudut ekonomi, kemudahan awam mahupun peluang pekerjaan.

Rakyat Kelantan memilih untuk menjadi “resistance base” terhadap segala salah laku, penyelewengan, sekatan dan diskriminasi oleh kerajaan Persekutuan.

Kelantan juga menjadi aspirasi tertegaknya undang-undang hudud di Malaysia yang diimpikan sejak sekian lama oleh golongan agamawan di negara ini.

Tetapi, kurangnya kemudahan untuk akses ke Kelantan dan kondisi jalan raya yang teruk menyumbang kepada kurangnya minat pelabur untuk pergi ke negeri itu.

Malah, Kelantan sering dimomokkan sebagai negeri paling miskin di Malaysia, tetapi jika dilihat pada jumlah dana yang disalurkan kerajaan Persekutuan kepada negeri itu amat rendah, belum lagi mengambil kira penyelewengan pemimpin Umno tempatan yang bertindak sebagai “orang tengah” dalam penyaluran bantuan.

Kemuncak daripada kekecewaan itu, lahirlah idea Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu – Kuala Krai pada 2012 yang dibiayai rakyat Kelantan sendiri bertitik tolak daripada pembatalan tanpa sebab projek lebuh raya yang diwartakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu.

Projek ini berjalan baik dan mendapat sambutan daripada rakyat sehinggalah ia dibatalkan kerajaan PAS pimpinan Datuk Ahmad Yaacob.

Kegagalan kerajaan PAS

Kematian Nik Aziz pada 2015 seakan merubah segala yang pernah dilihat dalam lipatan sejarah negeri Kelantan.

Bertitik tolak daripada runtuhnya Pakatan Rakyat pada 2014 sehinggalah khabar angin kerjasama PAS-Umno beberapa bulan kebelakangan ini, Kelantan seperti hilang kedudukan sebagai tapak penentangan kerajaan Umno-BN.

Pemimpin PAS galak menyerang pemimpin Pakatan Harapan di pentas ceramah, berbanding mengutuk penyelewengan dan ketirisan kerajaan BN.

Aksi bermesra dengan pemimpin Umno dalam beberapa acara kebelakangan ini mungkin merupakan manifestasi “Politik Matang dan Sejahtera” yang diterajui Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Cakap-cakap liar mengenai kerjasama PAS-Umno pada pilihan raya umum akan datang semakin rancak dan hangat dibualkan.

Perjuangan menuntut royalti minyak juga seperti dipandang sepi oleh pemimpin PAS seolah-olah perjuangan ini tidak pernah bergema dan logo “R” seperti tidak pernah wujud.

Ditambah pula dengan pemberian mahar oleh kerajaan Persekutuan dengan mengambil alih projek menyiapkan Lebuh Raya Rakyat.

Kegagalan kerajaan negeri menguruskan mangsa banjir juga menjadi faktor kegagalan “resistance”, malah tugu peringatan banjir di Kuala Krai yang bernilai puluhan ribu ringgit dilihat seakan mengejek mangsa banjir yang belum mempunyai rumah tetap dan tinggal di khemah atau kampung yang masih terputus hubungan akibat jambatan yang runtuh belum dibaik pulih.

Pengurusan balak juga menjadi kontroversi di media perdana dan media sosial, malah kegagalan Kelantan menguruskan masyarakat orang asli Gua Musang juga menambah rasa pahit – apa beza kerajaan “sekular” persekutuan dengan kerajaan “Islam” Kelantan?

Kerajaan negeri juga terpaksa berdepan saman daripada syarikat Dae Hanguru Infra Sdn Bhd kerana tindakan kerajaan Kelantan membatalkan kontrak yang sudah dimeterai berkaitan pembinaan Lebuh Raya Rakyat.

Maka persoalan utama kepada rakyat Kelantan, untuk apa lagi kerajaan PAS perlu dipertahankan.

Dan adakah parti yang memperjuangkan Islam itu masih relevan untuk diundi pada pilihan raya akan datang?

Mohd Shazwan Abd Halim ialah pembaca FMT.

Tiada ulasan: