"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas pemimpin pusat cadang Pas tumpu dakwah, tinggalkan politik sebatang karah

HUSIN MAHAT

Pendirian Pas yang mahu menghadapi pilihan raya umum (PRU) secara bersendirian dan kesanggupan parti itu untuk menghadapi kekalahan dalam pilihan raya daripada bekerjasama dengan pihak yang didakwa ‘menolak Islam’ mendorong bekas ahli jawatankuasa pusat parti itu menyarankan Pas menumpukan usaha kepada kerja-kerja dakwah.

Bekas pengarah urusan Harakah Dr Rosli Yaakob berkata, pengakuan presiden Pas bahawa keutamaan perjuangan Pas adalah dakwah dan bukan untuk membentuk kerajaan menjadi isyarat jelas bahawa Pas perlu memposisikan diri sebagai gerakan dakwah dan bukannya gerakan politik.

“Bersyukur kita, akhirnya presiden kita akui bahawa dalam pilihan raya, kita berdepan dengan kebarangkalian kalah dan kebarangkalian menang. Bila kita ambil jalan politik solo sebatang karah, kebarangkalian tak menang lebih tinggi. Sejarah adalah saksi kepada perkara ini,” ujarnya.

Dr Rosli menambah, kecenderungan para pemimpin Pas untuk ‘membelasah’ nonmuslim dalam isu-isu berbangkit menyukar parti itu untuk memperolehi undi mereka sedangkan rakyat bukan Islam mencapai lebih 40% dari jumlah keseluruhan pengundi di negara ini.

Sehubungan itu, tambah beliau Pas perlu bergantung kepada undi Melayu-Islam pada pilihan raya umum nanti.

Bagaimanapun, jelas beliau tindakan segelintir pemimpin Pas ‘membelasah’ sebahagian orang Melayu dengan melabelkan mereka sebagai Melayu liberal, Melayu sekular, malah menganggap orang Melayu sebagai kafir, rosak akidah dan boleh ‘ditanam di jirat Cina’ jika mereka tidak menyokong rang undang-undang (RUU) 355, mengakibatkan sebahagian orang Melayu ‘melarikan diri’ dari menyokong Pas.

“Jadi sukar Pas nak dapat undi hatta undi orang Melayu sekali pun. Saya rasa presiden kita dah terasa benda ni. Maka terkeluarlah kata-kata dari lubuk hati beliau bahawa keutamaan perjuangan Pas adalah dakwah bukan nak menjadi kerajaan. Bukan nak menang pilihan raya,” ujarnya.

Menurut Dr Rosli, sebagai seorang yang berada di dalam aliran ‘tabligh’, beliau amat bersetuju bahawa keutamaan gerakan Islam adalah dakwah bertujuan menyampaikan risalah Islam kepada seluruh manusia.

“Ini prioriti kita. Orang Islam kita kena tarbiyah dan tingkatkan kefahaman agama mereka. Kepada nonmuslim kita kena sampaikan Islam kepada mereka. Dalam bidang dakwah kepada bukan Islam ini Pas memang lemah. Pas tak miliki outreach program pun. Saya masih ingat gerakan Al-Arqam dulu ada program masuk hutan berdakwah kepada Orang Asli. Pas tak ada,” ujar beliau.

Sehubungan itu beliau tidak mahu Pas menjadi umpama pepatah Melayu, ‘barang yang dikendong (dakwah) berciciran dan yang dikejar (politik nak menjadi kerajaan) tak dapat’.

Beliau yakin sikap bermusuh dengan nonmuslim dan gambaran ‘rasis-fasis’ yang dipalitkan kepada parti itu, ditambah pula sikap suka melabel sebahagian pemimpinnya akan menyukarkan Pas (uphill task) untuk meraih undi Melayu dan bukan Melayu.

Kebarangkalian untuk Pas menang dalam PRU ke-14 dengan ‘wajah politik solo’ dan sebatang karah, katanya adalah rendah.

“Dengan sikap rakyat Malaysia mahu mengubah kerajaan, maka dengan sikap pimpinan Pas mahu kerajaan kleptokrasi dikekalkan, kita boleh menjangkakan rakyat yang mahukan perubahan tidak akan mengundi Pas.

“Rakyat mahu kerajaan baru. Pas hanya nak jadi pembangkang. Jadi, siapa nak undi Pas? Pengundi-pengundi yang dulu mengundi Pas akan melambai tangan mengucap sayonara kepada Pas dalam PRU14 ini,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam tulisannya bertajuk ‘Lebuh Raya Politik’ yang disiarkan Harakahdaily, 25 Oktober lalu menegaskan bahawa perjalanan politik Islam bukan sekadar bertanding dalam PRU untuk berkuasa dan mendapat kuasa, malah adalah untuk berdakwah dan mendidik masyarakat.

“Pas terus bersabar dan boleh menerima kekalahan dengan reda, bukan sahaja kemenangan tanpa berfikir untuk mengisi kemenangan. Wawasan Pas sangat luas, bukannya dunia yang sempit, tetapi terus beristiqamah bersama Islam, daripada dunia yang luas sehingga akhirat yang kekal,” tulisan beliau dipetik.

Pas katanya tidak hanyut dan dihanyutkan oleh sesiapa sahaja yang mahu memaksa, menipu atau melakukan provokasi untuk mengheret Pas sehingga terkeluar daripada landasan prinsip dan konsep Islam.

Beliau menambah, Pas berpengalaman berpolitik secara bersendirian, mengadakan kerajaan campuran dan bekerjasama dengan semua pihak dengan berbagai pendekatan termasuk ta’awun (kerjasama).

Dan pendekatan terkini yang dimainkan oleh Pas, katanya adalah “menjadi pembangkang yang menasihat”.

Tiada ulasan: