"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saya tengok bukti duit Umno kepada PAS, kata Husam

Saya tengok bukti duit Umno kepada PAS, kata HusamBekas naib presiden PAS, Husam Musa mempertahankan pendiriannya berhubung dakwaan itu sehingga kini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2017.
BEKAS naib presiden PAS, Husam Musa mendakwa beliau melihat sendiri sumber maklumat yang menunjukkan pemimpin PAS menerima wang daripada Umno dan jumlahnya lebih daripada RM90 juta.

"Saya tidak bermain dengan kata-kata. Saya bercakap selepas saya melihat sumber maklumat tersebut dan pastikan ianya tepat dan benar.

"Iaitu sejumlah wang disalurkan melalui Affin Bank kepada beberapa pihak berkaitan dengan kepimpinan PAS selain transaksi runcit lain," kata Husam dalam satu sesi dialog semalam.

Husam berkata demikian ketika Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown bertegas di Mahkamah London PAS menerima wang daripada Umno.

Husam sebelum ini mendakwa, PAS menerima wang itu daripada Umno melalui Affin Bank.

"Dalam ucapan, saya tak sebut jumlah. Kerana dalam fikiran saya jumlahnya lebih besar daripada RM90 juta.

"Saya hanya secara tegas menamakan bank, iaitu Affin Bank," kata Husam dalam dialog itu.

Sehubungan dengan itu, Husam berkata, beliau sehingga kini mempertahankan kenyataan itu.

"Saya masih berpendirian mempertahankan kenyataan saya itu. Saya tidak berganjak kecuali berkenaan jumlah," katanya dalam sesi dialog berkenaan.

Menurut Husam, beliau terikat dengan Akta Kewangan ataupun Bank dalam negara ini (untuk mendedahkan sumber) walaupun ramai rakyat Malaysia dan ahli PAS ingin tahu.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang bertindak memfailkan saman terhadap Clare berikutan dakwaan Sarawak Report bahawa PAS menerima RM90 juta daripada Umno.

Namun sehingga kini, Husam dan seorang lagi yang membuat dakwaan sama iaitu ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli tidak disaman PAS.

Bekas timbalan presiden PAS, Nasharudin Mat Isa juga tidak menyaman Rafizi walaupun berjanji akan berbuat demikian selepas Rafizi membuat kenyataan Nasharudin antara yang menerima wang itu daripada Umno.

Husam yang dipecat daripada PAS pada Mei 2016 kerana mengkritik kepimpinan parti itu, juga pernah membuat kenyataan berhubung dakwaan berkenaan pada satu ceramah Amanah di Kelantan awal tahun ini.

Rewcastle Brown, dalam satu pernyataan pertahanan dalam saman yang difailkan Hadi, turut menamakan beberapa pemimpin PAS yang mendapat manfaat daripada wang yang didakwa diberi oleh Umno. Kenderaan mewah turut disebut selain beberapa barangan lain yang dibeli pemimpin terbabit, katanya.

Penyataan editor berkenaan turut menamakan aktivis hak asasi manusia yang juga peguam Ambiga Sreenevasan sebagai sumber maklumatnya berkaitan RM90 juta diberikan oleh Umno kepada PAS, yang secara tradisinya merupakan musuh politik untuk pengundi Melayu-Islam. PAS berpecah daripada blok pembangkang dan digantikan dengan parti pecahannya Amanah.

Ambiga kini disiasat di bawah Kanun Keseksaan kerana mencetuskan keresahan awam dalam kaitannya dengan Rewcastle Brown.

Artikel bertajuk "As Najib denies all over 1MBDB let’s not forget his many other criminal connections" itu disiarkan pada 6 Ogos tahun lalu dan mencadangkan wang yang diberikan itu sebagai pertukaran untuk sokongan PAS kepada pakatan pemerintah Barisan Nasional.

Hadi mengemukakan saman terhadap Clare melalui firma guaman terkenal di England, Carter-Ruck yang terkenal dengan caj perkhidmatannya yang tinggi.
 –themalaysianinsight

Tiada ulasan: