"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sempena 1,000 hari Anwar dipenjara, PH berarak ke Dataran Merdeka (Video&Gambar)

Khairil Ashraf
KUALA LUMPUR: Sempena 1,000 hari Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara di Sungai Buloh, Pakatan Harapan hari ini berarak sejauh 2 kilometer bermula dari Parlimen ke Dataran Merdeka.

Perarakan yang disertai kira-kira 200 orang itu disertai antaranya oleh Presiden Pakatan Harapan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden PKR Tian Chua, R Sivarasa, Nurul Izzah; Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.

Mereka turut melaungkan “Reformasi” “Bebas Anwar” dan “Hidup Rakyat” di perarakan itu.

Wak Azizah dalam ucapan kepada peserta perarakan mendakwa Anwar sanggup melalui pemenjaraan di Sungai Buloh bagi membebaskan negara ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga menambah Anwar bagaimanapun terpaksa mengambil ubat tahan sakit lebih-lebih lagi apabila terlibat dalam kemalangan pada 22 September lalu.

“Memang terkesan tetapi dia tak mengeluh ini adalah satu penderaan. Tetapi dia sanggup melaluinya untuk membebaskan negara kita. Janganlah kita sia-siakannya,” katanya.

Dalam pada itu, Tian Chua dalam ucapan berkata perarakan malam tadi bagi memperingati 1,000 malam Anwar dipenjara.

Menurutnya, walaupun beliau telah menghabiskan 30 malam di Penjara Kajang baru-baru ini, ia tidak boleh dibandingkan dengan ketua umum Pakatan Harapan itu.

“Apa yang dilalui oleh saya tidak boleh dibanding oleh tokoh yang telah berada di penjara 1,000 malam,” katanya.

Pada awal Februari 2015, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar terhadap kesalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Keputusan itu dicapai sebulat suara oleh panel 5 hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara 5 tahun terhadapnya.

Tiada ulasan: