"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mengapa ruang media sosial tidak lagi dikuasai Pakatan Harapan?

ADAM ADLI
Baru-baru ini dalam sebuah program dialog bersama penduduk tempatan yang rata-rata adalah pendukung Pakatan Harapan di Machang Bubok, sebuah daerah dalam Bukit Mertajam, salah seorang hadirin telah bangun untuk meluahkan kekecewaan beliau ke atas situasi semasa.

Beliau tidak meluahkan kecewa kerana tidak mendapat jawatan. Jauh sekali kerana tidak mendapat habuan projek atau tender daripada kerajaan.

Beliau, seperti ramai yang lain di bawah ini hanya meluahkan rasa tersinggung apabila gagal untuk menjawab sindiran teman-teman sekampung setiap kali bertemu di kedai-kedai kopi.

Tentu sekali lelaki pertengahan umur ini selama bertahun-tahun telah dengan sukarela berkempen untuk Pakatan Harapan tanpa mengharap balasan.

Satu-satunya yang beliau mahu lihat adalah tumbangnya Umno-Barisan Nasional dan runtuhnya ego Parti Islam Se-Malaysia. Dan itu telah pun berjaya beliau capai.

Namun beliau yang seharusnya mampu berbangga, hari ini tidak mampu menunjukkan muka dek kerana segan dengan sindiran orang-orang di sekelilingnya.

Saya memahami apa yang beliau hadapi. Mereka jelas bukan segan atau malu kerana ia benar. Mereka segan dan malu kerana tidak tahu bagaimana hendak menjawab sindiran sedemikian.

Apabila janji 100 hari yang digariskan Pakatan Harapan, yang dijadikan sandaran ketika berkempen, hari ini dipermainkan seluas-luasnya oleh musuh politik, mereka tidak ada idea bagaimana untuk menjawabnya. Itu sahaja.

Beliau sama seperti saya tidak pernah sedikit pun mengikat diri dengan janji yang ditawarkan sewaktu menyatakan sikap untuk menyokong Pakatan dalam pilihan raya yang lalu. Beliau hanya mahu melihat Umno-Barisan Nasional tumbang.

Namun berhadapan masyarakat yang tidak berkongsi citra dan falsafah yang sama, tidak mudah untuk beliau menggunakan rasional sedemikian untuk menjawab sindiran yang diterima.

Mungkin boleh, namun ia tidak adil juga kepada mereka yang benar-benar menagih janji. Iyalah, bukan semua melihat politik sebagaimana kita melihatnya.

Bukan semua yang mengundi keluar Umno dahulu adalah pembenci Umno. Mereka adalah orang-orang yang berharap keadaan akan jadi lebih baik di bawah kerajaan yang baharu.

Mengambil kesempatan daripada luahan tersebut saya nyatakan persetujuan tentang dilema orang-orang di bawah seperti beliau.

Sekian lama menjadi pembangkang yang sifatnya menyerang, bukan mudah untuk tiba-tiba bertukar kepada sifat bertahan selepas kini menjadi kerajaan.

Masalahnya bukan pada soal janji atau prestasi kerajaan hari ini. Siapa pun yang rasional akan menyedari prestasi kerajaan hari ini biar pun tidak sebaik yang diharap tidak pula seburuk yang disangka.

Menyedari bahawa kerosakan yang berlaku sudah berakar dalam sistem kerajaan sejak berdekad lama, apa yang dicapai dan diusahakan oleh Pakatan Harapan sebagai kerajaan baharu tidaklah begitu mengecewakan.

Masalahnya sebenarnya adalah pada komunikasi awam. Entah kenapa, naratif politik yang selama ini dikawal oleh Pakatan Harapan tidak lagi begitu kuat seperti sebelum pilihan raya.

Tidak pasti kalau menteri-menteri dan pegawai media mereka sedar atau tidak kerajaan Pakatan Harapan ini begitu ketinggalan dan teruk dibahan dalam media sosial.

Sekelip mata sahaja, ruang maya hari ini berubah naratifnya. Watak jahat bukan lagi Umno-Barisan Nasional mahupun Najib.

Janganlah kerana sudah menguasai media arus perdana televisyen, radio, dan akhbar, ruang media sosial diabaikan.

Ruang media sosial, ruang maya ini adalah ruang yang jauh lebih kuat pengaruhnya berbanding media arus perdana.

Apa yang dibincangkan di dalam ruang ini telah mempengaruhi keputusan politik yang dibuat rakyat dalam pilihan raya yang lepas maka ruang ini tidak wajar dibiarkan terlepas dikuasai musuh politik Pakatan Harapan.

Perang propaganda tidak pernah tamat hanya kerana pilihan raya sudah selesai.

Pakatan Harapan yang kini daripada sudut hukum sudah bertambah kekuatan politiknya seharusnya mampu menangkis propaganda ini dengan mudah, namun entah kenapa ia tidak berlaku.

Andai sahaja ruang media sosial dapat dikawal semula naratifnya seperti sebelum ini dan tidak dibiarkan ia dikuasai musuh penyokong Pakatan Harapan seperti lelaki pertengahan umur tadi tidak perlu tunduk malu dengan masyarakat keliling beliau kerana gagal menjawab sindiran.

*Penulis adalah bekas aktivis mahasiswa, kini kembali menyambung pelajaran di UPSI.

Tiada ulasan: