"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kemunculan Anwar Ibrahim dari kacamata Dr Mujahid

MALAYSIA DATELINE
Ulasan: Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) bukan nama biasa dalam mencorak perjuangan politik baharu di Malaysia. Kehadirannya dalam proses perjuangan reformasi di Malaysia lebih banyak masanya dari balik tembok besi penjara dari di medan. DSAI tidak pernah didakwa atas kesalahannya mencabar pemerintah tetapi beliau didakwa secara tuduhan palsu untuk mengaibkan dirinya dan keluarganya.

Prinsip cekal
Susuk tubuh DSAI tidak pernah mengenal erti menyerah. Beliau mempertahankan dirinya tidak bersalah sepanjang pemenjaraannya dan alhamdulillah pada tahun 2018 Yang Dipertuan Agong berkenan memberikan kuasa keampunan keatas DSAI yang telah membersihkan namanya dan keluarganya sejak dihina dan diaibkan pada tahun 1998 lagi iaitu selama 20 tahun.

Lahir generasi reformasi
Generasi reformasi adalah hasil tangannya yang sebahagian besar kini menduduki jawatan penting dalam pentadbiran negara. Parti pembangkang semua meraih dokongan Reformasi yang dilaung dan diusung oleh DSAI sehingga menjadi titik perpaduan di kalangan pembangkang.

Suara DSAI yang menghidupkan semula roh Malaysia terdiri dari pelbagai bangsa, kaum dan agama seolah satu ‘kata sihir’ yang memukau segenap lapisan masyarakat. Justeru beliau telah menyatukan rakyat Malaysia.

Rakan yang setia
DSAI setia kepada rakan politiknya walaupun Pas dahulu mempunyai pandangan keras terhadap beberapa sikapnya. Namun DSAI mengambil kaedah bertemu dan menjelaskan bagi memelihara kesatuan pembangkang. Pas telah memilih jalannya walaupun DSAI berusaha memulihkan kekeruhan yang berlaku.

Ketika AMANAH diasaskan pada tahun 2015, beliau memahami realiti bahawa pembangkang harus ‘move on’ dan peranan AMANAH menyatukan pembangkang setelah Pakatan Rakyat (PR) berkubur tidak dapat dinafikan.

Kelahiran Bersatu kemudian pada awal 2017 turut dialukan sebagai kekuatan baru menggamit sokongan Umno tegar. DSAI meletakkan semua perkembangan ini dalam kerangka pemikiran politik baharu yang diperjuangkan, sebab itu DSAI sentiasa fokus apa yang diinginkan.

Dulu musuh kini kawan
Satu tindakan besar DSAI ialah menerima Tun M dalam kancah perjuangan reformasi walaupun sebelumnya mereka adalah musuh ketat. DSAI ada visi besar dan jiwanya membuka ruang yang luas untuk semua waima musuhnya sendiri.

DSAI juga adalah figura yang menentukan survival partinya iaitu Parti Keadilan Rakyat kerana semua fraksi dalam PKR menyatakan mereka adalah kem DSAI dan kerana kekuatan peribadi kepimpinannya DSAI berhati-hati menyatakan sikapnya kepada kem yang bersaing sengit dalam Parti Keadilan hari ini.

Tidak syak lagi DSAI adalah faktor penyatu dalaman pada suasana PKR sebagai parti terbesar menguasai kerusi kerajaan Pakatan Harapan hari ini ketika ia diuji dengan persaingan yang sengit sesama mereka.

Dituduh Islam Liberal
DSAI berani menyuarakan sikap Islam dalam kerangka demokrasi hari ini malah beliau mahu dikenali sebagai ‘muslim demokrat’ yang berpegang kepada kerangka negara berpaksikan rule of law dan intepretasi Islam yang kontekstual tanpa meninggalkan asas tekstual.

Gabungan tekstual dan kontekstual inilah asas pandangan beliau pada isu yang menyinggung Islam kontemporari. Sedari dahulu tohmahan Islam Liberal ke atasnya lebih kepada ketidakfahaman kelompok tekstual yang mahukan penafsiran Islam literal bukan kerana DSAI adalah seorang Muslim yang mencairkan prinsip agamanya.

Rakan mesrestui
Kini masanya dah tiba kemunculan DSAI disambut melalui kacamata sejarah panjang perjalanan reformasi dan kehebatan kepimpinanmya yang amat diperlukan dalam membentuk Malaysia Baharu. Apatah lagi semua parti komponen PH termasuk Tun Mahathir Mohamad menyatakan sokongan penuh beliau kepada DSAI.

Parti Amanah turut menyatakan sokongan padu dan akan membantu semaksima mungkin melalui Presidennya Tuan Haji Mohamad Sabu manakala DAP berjanji memenangkan DSAI di Port Dickson (PD) semasa pilihan raya kecil nanti.

Pertikaian dan persepsi
Suara yang mempertikaikan keputusan DSAI untuk bertanding di PD dan mengapa bukan di tempat Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail di Parlimen Pandan tidak melihat susur galur perjalanan politik DSAI.

Tanggapan kononnya DSAI akan mewarnai politik anak-beranak terlalu awal untuk diberi ulasan kerana berbanding dengan perjalanan politik DSAI, isu anak beranak terlalu kerdil untuk diberi perhatian. Hanya mereka yang kurang arif perjalanan politik DSAI akan membesarkan isu politik anak beranak ini.

Langkah baru bermula
Barang diingatkan Tun Mahathir dan DSAI adalah gabungan dinamik untuk memulakan politik baharu di Malaysia. Langkah awal penting kerana proses Malaysia Baharu akan memakan masa dan dalam proses itu kemunculan DSAI adalah sangat tepat dan diperlukan.

Diharapkan generasi penyambung akan meneruskan gagasan Malaysia Baharu yang penuh dengan cabaran dan halangan. Untuk kemunculan DSAI saya mengucapkan Marhaban dan Ahlan Wasahlan.

“Penulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Naib Presiden AMANAH.

Tiada ulasan: