"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kamu bertanggungjawab, KJ beritahu Zahid selepas Tok Pa keluar Umno

Robin Augustin 
PETALING JAYA: Khairy Jamaluddin menyalahkan Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas keputusan Datuk Seri Mustapa Mohamed meninggalkan parti itu.

Khairy di Twitter berkata dia lantang mengingatkan parti itu untuk tidak bersekutu dengan PAS tetapi diserang oleh rakan-rakan parti.

“Sekarang, kita sudah kehilangan seorang tokoh dalam parti kita. Seorang lelaki yang bijak dan baik. Tuan presiden, kamu bertanggungjawab.”

Terdahulu, Mustapa mengumumkan dia meninggalkan parti itu kerana hala tuju Umno tidak lagi selari dengan prinsipnya.

“Hala tuju yang diambil Umno pada masa ini tidak lagi selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangan saya selama ini dan tidak ada banyak usaha yang meyakinkan bahawa proses rejuvenasi parti telah bermula,” kata ahli majlis tertinggi itu dalam kenyataan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz bersimpati dengan bekas menteri itu dan bersetuju dengan Khairy barangkali Mustapa tidak gembira Umno bekerjasama dengan PAS.

“Saya faham sebab-sebab dan kekecewaannya. Saya juga percaya inklusif dalam politik. Saya doakan yang terbaik untuknya dan harap suatu hari nanti dia akan kembali kepada Umno,” katanya kepada FMT.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Bung Moktar Radin pula “terkejut dan sedih” kerana Mustapa seorang “pejuang tulin dan teguh dengan pendirian”.

Beliau berkata walaupun pemimpin datang dan pergi menjadi adat politik, Umno mesti mengubah pendekatan dan tidak boleh dilihat “syok sendiri”.

“Ada ramai lagi orang di luar sana dan kumpulan ini perlukan Umno untuk meyakinkan mereka ke arah mana negara dan rakyat dipacu pada masa akan datang.”

Penganalisis Awang Azman Awang Pawi berkata Umno sudah kehilangan salah seorang daripada “orang baik” dan menjangkakan ramai lagi wakil rakyat Umno akan meninggalkan parti itu untuk menyertai PPBM.

“Mustapa dijangka menyertai PPBM. Hal ini kerana Mustapa pernah menjadi setiausaha politik kepada Tun Daim Zainuddin, malah Daim bantu Mustapa jadi senator, timbalan menteri dan bertanding di Jeli,” katanya merujuk kepada bekas menteri kewangan yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata Zahid mesti bertindak sekarang untuk memulihkan keyakinan terhadap Umno.

Seorang lagi penganalisis, Kamarul Zaman Yusoff, pula mengajukan pandangan berbeza iaitu pemergian Mustapa selepas 4 dekad bersama parti itu kerana ikhtiar politik.

“Saya juga percaya Daim mempunyai pengaruh dalam keputusannya.

“Saya fikir ini berlaku sekarang kerana PPBM sedang menguatkan barisan ditengah-tengah desas-desus PKR akan bekerjasama dengan Umno,” kata Kamarul, yang pernah mengkritik Pakatan Harapan.

Semalam, Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mencadangkan penubuhan gabungan baharu bergelar Pakatan Malaysia yang terdiri daripada Umno, PAS, MCA, MIC, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Bersatu Sabah dan PKR.

Tiada ulasan: