"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Panggilan telefon 9 Mei: Anwar dedah Najib terkedu

Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan lebih banyak butiran mengenai perbualan telefon dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak pada malam kejatuhan BN dan Umno daripada kekuasaan selama enam dekad.

Ketika wawancara bersama ThaiPBS, Anwar berkata Najib dalam perbualannya secara berterusan bertanyakan mengenai apa yang difahamkan sebagai percubaan bekas presiden Umno itu mengatur langkah mengekalkan BN sebagai parti pemerintah.

Bagaimanapun, Najib akhirnya terkedu apabila Anwar berkata Najib perlu mengemukakan permintaannya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang bakal menjadi perdana menteri pada ketika itu.

"Beliau (Najib) berterusan berkata - terdapat kemungkinan untuk mengatur sesuatu kerana kami (BN) tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya.

"Akhirnya, saya kata, kamu perlu sedar, secara teknikalnya saya di dalam penjara... Ini akan jadi panggilan terakhir kamu kepada saya, selepas ini, kamu perlu berurusan dengan Mahathir.

"Kemudian beliau menjadi terkedu seketika," kata Anwar, petik ThaiPBS.

Perbincangan datang kemudian

Apabila wartawan Suthichai Yoon bertanyakan jika beliau sepenuhnya menutup pintu rundingan mengenai kemungkinan kerjasama dengan BN, Anwar berkata mesej beliau kepada Najib adalah beliau perlu mengaku kalah terlebih dahulu dan perbincangan, jika ada itu boleh dibuat kemudian.

"Najib ada membayangkan beliau sedia untuk berbincang dan berunding tetapi saya tidak layan. Mandat kami cukup jelas, kami menang dengan majoriti yang jelas. (Saya katakan kepadanya) hal ini (perbincangan) akan datang kemudian.

"Jika kamu mahu, kamu boleh berbincang dengan Mahathir, beliau terdiam... tak terkata apa-apa," kata Anwar.

Bagaimanapun, Anwar berkata walaupun beliau menasihatkan Najib untuk mengaku kalah, namun bekas presiden Umno itu menunda pengumumannya sehingga keesokan harinya.

"Beliau enggan (mengaku kalah) sehinggalah keesokan harinya sekitar jam 11 pagi dan malah masih cuba berkeras.

"Sebenarnya ini kerana kesombongannya yang menyebabkan tindak balas sebegini," katanya.

Anwar dibebaskan dari penjara pada 16 Mei selepas menerima pengampunan diraja.

Beliau dipenjarakan atas kesalahan seks luar tabii dan mendakwa pertuduhannya bermotifkan politik.

Mahathir telah berjanji untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar dalam masa beberapa tahun lagi.
-malaysiakini

Tiada ulasan: