"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga asing kuasai PPR Lembah Subang? [VIDEO]

[VIDEO] Warga asing kuasai PPR Lembah Subang?

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Warga asing kebanyakannya rakyat Indonesia dipercayai menguasai pangsapuri-pangsapuri kos rendah di kawasan Lembah Subang, Selangor sehingga menyebabkan rakyat tempatan yang layak menghuninya tidak dapat mendudukinya.

Perkara ini didedahkan oleh seorang netizen, Zainurizzaman Muharram di laman Facebooknya selepas mendapat tahu mengenainya ketika cuba membantu sebuah keluarga gelandangan mendapatkan sebuah unit pangsapuri berkenaan.

Menurut Zainurizzaman, keadaan itu disedari ketika dia bersama seorang rakan meninjau ke Pangsapuri Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang baru-baru ini bagi tujuan membantu keluarga gelandangan berkenaan.

Dia melakukan tinjauan itu selepas dimaklumkan petugas di pejabat Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Mohamed Talha semua permohonan rumah rakyat telah dibekukan dan tiada unit kosong untuk diberikan kepada keluarga berkenaan.

Dalam tinjauan yang dilakukan, beliau telah mendapati hampir 70 buah unit rumah di pangsapuri tersebut dihuni oleh warga asing yang turut membuat sambungan bekalan elektrik haram terus dari meter milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Alasan penuh itu biasa didengari daripada pihak berwajib namun apa yang tidak boleh diterima ialah rumah-rumah berkenaan penuh dengan warga asing.

“Saya sendiri telah berkali-kali memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai perkara ini dan apa yang dikesalkan, setiap kali dimaklumkan mengenainya, mereka hanya memberikan jawapan ‘kami tidak boleh melakukan apa-apa’,” jelas beliau kepada Utusan Online ketika dihubungi hari ini.

Bagi membuktikan kebenaran pendedahan yang dilakukan, Zainururizzaman turut memuatnaikkan dua rakaman video yang menunjukkan keadaan di PPR berkenaan.

Menurut beliau, pihak berwajib perlu segera mengambil tindakan ke atas pemilik-pemilik rumah-rumah rakyat berkenaan bagi menghalang PPR dari terus dipenuhi oleh warga asing dan bukannya rakyat tempat yang memerlulkan.

Tambah beliau, mereka bukan sahaja merampas hak rakyat tempatan tetapi juga membahayakan penduduk setempat dengan membuat sambungan bekalan elektrik haram seperti yang dikesan dalam tinjauan yang dilakukan. - UTUSAN ONLINE

Nurulanuar Mansor
29 Ogos 2018

Tiada ulasan: