"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

10 makanan seludup pilihan kaki wayang Malaysia

Butterkicap Team
Kaki wayang di Malaysia cukup pandai dalam membuat aksi-aksi ala-ala Ethan Hunt dalam Mission Impossible khususnya, menyeludup makanan luar yang ‘diharamkan’ oleh pihak pawagam kerana bertih jagung dan air berkarbonat tidak cukup untuk menghilangkan gian kunyah semasa menonton filem kegemaran anda.

Jadi, apakah antara makanan seludup pilihan kaki wayang ini? Adakah mereka lebih suka membawa makanan berat seperti nasi lemak mahupun burger atau lebih sukakan makanan ringan seperti keropok? Jawapan pada persoalan anda itu kami senaraikan di bawah:

1. Samosa

Bagi peminat filem Hindi, anda pasti akan berasa sangat lapar sepanjang 3 jam penuh drama, tangisan, lagu dan tarian. Popcorn saiz besar yang anda beli pun rasa tak cukup untuk menghilangkan rasa lapar yang menggigit perut.

Daripada hilang fokus untuk menghayati drama hindi yang sedang ditayangkan di depan anda, gigitlah beberapa ketul samosa ayam atau daging sambil berangan-angan menari keliling pokok dengan kekasih anda.

Ingat, bawa bekas ya untuk serdak-serdak samosa itu. Janganlah buat kerja jahat dan tinggalkan bukti pula!

2. Cekodok

Bagi mereka yang lapar semasa menonton wayang tapi tidak mahu makan sesuatu sehingga menjadi terlalu kenyang, anda pasti memilih untuk menyeludup snek-snek ringan seperti cekodok untuk dijamah sebagai kudapan.

Rasa pisang cekodok yang enak ditambah pula keasyikan mengunyah pasti membuatkan masa berlalu dengan pantas sehingga anda tidak sedar anda sedang menggigit jari anda.

3. Keropok Lekor

Makanan seterusnya yang selalu diseludup oleh kaki wayang ialah snek kegemaran ramai ketika menonton televisyen di rumah. Rasa keropok lekor yang liat-liat rangup ini cukup sesuai untuk anda melepaskan gian menggigit semasa melihat babak cemas atau suspens dalam filem yang ditayangkan.

4. Pisang Goreng

Antara snek seludup terbaik pilihan kaki wayang ialah pisang goreng yang rangup. Pisang goreng merupakan salah satu makanan seludup di pawagam kerana mudah dibawa, tidak berbau dan yang paling penting, boleh disembunyikan dengan mudah di dalam beg teman wanita anda.

Namun begitu, pastikan anda makan pisang goreng dengan mulut tertutup supaya tak mengganggu orang lain yang menonton filem bersama-sama dengan anda. Sudahlah tak beretika, tak senonoh pula itu!

5. Cucur Udang

Seperti cekodok, cucur udang disukai kaki wayang kerana tekstur cucur yang lembut dan panas membuatkan anda terasa seperti menonton wayang di rumah dan bukannya di panggung wayang. Kalau itulah suasana yang anda inginkan ketika keluar menonton filem, muat turun saja filem tersebut di rumah dan makanlah cucur udang anda di sana.

Kenapa? Kalau anda tidak bawa tisu, tangan anda yang berminyak akan meninggalkan kesan yang pasti membuatkan pengguna seterusnya berasa marah dan geram dengan anda.

6. Buah Potong

Jika anda sedang berdiet dan ingin mengurangkan berat badan anda, snek pilihan anda pastilah buah-buahan potong. Hilanglah sedikit rasa dahaga anda dek letusan jus semula jadi buah yang anda kunyah itu.

Kalau dah tahu nak buat kerja jahat, janganlah pula pilih buah-buahan berjus seperti tembikai untuk dimakan. Anda mungkin rasa kenyang, tapi kesan melekit yang anda tinggalkan tidak akan dihargai oleh pencuci mahupun individu yang duduk di tempat anda.

7. Sushi

Bagi golongan pencinta makanan Jepun, anda pasti tidak dapat berhenti makan sushi walau sesaat sekalipun termasuklah ketika menonton wayang. Oleh sebab itulah ada di antara anda yang memilih untuk membawa sushi masuk ke dalam panggung.

Ya, mungkin anda berfikir sushi makanan yang tidak mengotorkan tangan anda mahupun panggung tetapi bau ikan mentah yang datang dari sushi anda itu mungkin mengganggu konsentrasi pengunjung lain yang alah dengan ikan ataupun lapar.

8. Donat

Peminat makanan manis pasti sukakan makanan seludup ini. Donat yang berkrim dan enak tidak rangup sehingga mengganggu orang lain apabila anda menggigit donat yang dibawa tetapi ingat, krim yang ada di atas atau di dalam donat yang anda bawa itu.

Jangan terlalu asyik menonton filem sampai habis krim donat itu tercalit pada orang sebelah dan kerusi anda. Kalau anda membawa donat bergula, ingatlah untuk bawa bekas. Tiada sesiapa yang suka tikus merayap di kaki semasa mereka menonton wayang.

9. Takoyaki

Takoyaki merupakan pilihan seludup kaki wayang yang juga peminat makanan Jepun. Takoyaki yang bersaiz kecil, tidak begitu berminyak dan mudah untuk dimakan dianggap sebagai makanan yang paling bertimbang rasa dan tidak mengganggu sesiapapun.

Namun begitu, bau takoyaki yang kuat mungkin akan membuatkan tembelang anda pecah di pintu masuk dan menyebabkan anda terpaksa menderma takoyaki anda kepada abang tiket.

10. Roti dan pastri

Pilihan terakhir kaki wayang ialah roti dan pastri seperti sandwic untuk dinikmati di dalam panggung. Tak mengapa kalau anda bawa roti kering masuk ke dalam tetapi jika sandwic yang berinti basah seperti telur mayonis yang dipilih, makanlah dengan hati-hati.

Pastikan telur yang anda guna dalam sandwic bukan telur busuk, ya. Jika tidak, ada pengunjung yang akan letakkan sandwic itu di kepala anda nanti.

Itulah antara 10 makanan seludup pilihan kaki wayang di Malaysia. Saya pasti ada banyak lagi makanan yang dibawa masuk oleh kaki wayang ke panggung.

Satu sahaja pesanan saya. Jangan ingat kakitangan panggung tak tahu apa yang anda lakukan. Lebih baik beli sahaja makanan di kaunter panggung daripada menanggung kesedihan menderma makanan anda kepada abang-abang tiket.

Artikel ini diterbitkan dalam butterkicap.com

Tiada ulasan: