Kumpulan pemantau ketelusan HISBAH menggesa orang ramai tidak mengundi calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad.
Gesaan itu dibuat dua hari menjelang pilihan raya kecil (PRK) parlimen itu.
Pengerusi HISBAH, yang juga bekas setiausaha politik Anwar kira-kira 20 tahun lalu, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor (bawah) mendakwa Anwar “mempengaruhi dan mungkin juga memaksa” penyandang kerusi itu melepaskan jawatan.
Ini, katanya, bagi membeli laluan kepadanya kembali ke Dewan Rakyat.
Ezam juga berkata tiada alasan munasabah diberikan dan menyebabkan wang negara terpaksa digunakan hanya untuk melaksanakan PRK yang tidak perlu.
Isa pula, katanya, pernah dikaitkan dengan politik wang selain berdepan pelbagai dakwaan berkaitan salah laku urus tadbir yang belum dituntaskan.
“Pada hemat HISBAH, pengundi PD bebas mengundi calon-calon lain kerana mereka tidak didapati melanggar prinsip-prinsip penting dari sudut urus tadbir negara yang juga digariskan HISBAH dalam persoalan kepimpinan,” katanya.
Ezam sebelum ini mengakui pernah mempertimbangkan bertanding dalam pilihan raya kecil itu tetapi tidak muncul di hari penamaan calon.
Beliau berkata mempertimbangkan perkara itu atas alasan didesak “kalangan pejuang awal reformasi”.
PRK Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Anwar, calon PAS Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan lima calon bebas termasuk Isa serta bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat bekas majikannya.
Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada 12 September.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan