"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Husam minta polis siasat dakwaan 'wang RM90 juta' diterima PAS

N Faizal Ghazali
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Senator Husam Musa meminta pihak polis supaya turut menyiasat dakwaan beliau mengenai penyaluran wang kepada pemimpin PAS seperti yang didedahkan sebelum ini.

Menurutnya, sudah tiba masanya perkara itu disiasat untuk pendedahan umum.

"Saya berharap polis akan menyiasat dakwaan pemimpin PAS melalui pihak-pihak tertentu sebelum ini, melalui Affin Bank yang saya sebutkan sebelum ini.

"Jumlahnya antara RM90 juta hingga RM200 juta, supaya perkara ini juga disiasat dan jika belum ada laporan polis dibuat bolehlah mana-mana pihak buat laporan polis.

"Bila saya bangkitkan perkara ini, PAS mengugut untuk menyaman saya tetapi sekarang ini sudah tiba masanya perkara seperti ini perlu didedahkan kepada rakyat," katanya kepada media selepas merasmikan majlis penutup program Senario Jenayah Komersial peringkat Jabatan Pendidikan Negeri di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang menyatakan komitmen untuk meneliti laporan berhubung dakwaan menyaluran wang RM2.5 juta daripada Umno kepada PAS.

Terdahulu, Husam yang juga pengerusi Pakatan Harapan Kelantan mendakwa beliau mempunyai butiran berkaitan dana RM90 juta yang didakwa ada kaitan dengan PAS.

PAS bagaimanapun menafikan perkara itu dengan menyifatkan ia satu tuduhan jahat.

Sementara itu Husam berkata, parti politik mempunyai peranan besar dalam sesebuah negara dan sekiranya ada unsur-unsur penerimaan wang sehingga menjejaskan prinsip parti-parti tertentu dalam menentang penyelewengan perbuatan ini perlu dibanteras.

"Ini kerana parti politik sangat besar peranannya, kalau mereka termakan suapan sehingga menjejaskan prinsip perjuangan dalam menjaga keharmonian dan perjalanan negara yang baik, maknanya negara kita terbuka kepada ancaman penyelewengan yang lebih serius di masa akan datang," katanya.

Tiada ulasan: