"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ulasan Mufti Perlis: video penghinaan seorang lelaki terhadap gadis muslimah pekerja 7e yang enggan memegang arak

DrMAZA.com
Muslimah Yang Solehah

Saya menonton video penghinaan seorang lelaki terhadap gadis muslimah pekerja 7e yang enggan memegang arak. Di sini saya ingin menyebut beberapa perkara;

1. Arak hanya sepatutnya dijual di kedai atau bahagian yang khusus untuk pelanggan yang agama mereka tidak melarangnya. Membenarkan arak dijual di premis yang bercampur memberi kesukaran kepada pihak lain khususnya muslim.

2. Muslim sepatutnya tidak dibenarkan untuk menjaga kaunter jualan yang membabitkan arak. Ini kerana Islam menganggap arak merosak akal dan jiwa maka tidak wajar untuk individu muslim yang baik memberikan bahan yang merosakkan kepada pihak lain. Memegang bekas arak tidak membatalkan wuduk tapi menjualnya satu dosa. Mungkin gadis berkenaan mencari alasan yang dirasakan dapat diterima semasa itu.

3. Kesilapan gadis berkenaan ialah kerana dia bekerja di premis yang menjual arak. Namun, kita tidak tahu keadaan sebenar kehidupan gadis berkenaan. Apa yang pasti dia cuba sedaya dirinya untuk mengelakkan perkara yang haram tersebut.

4. Lelaki pelanggan berkenaan berhak untuk komplen kepada manager jika dia mahu. Namun, cara yang beliau lakukan iaitu merakam dan menghina gadis yang masih muda tersebut merupakan satu kebiadaban yang amat. Sedangkan gadis itu bercakap dengan baik. Orang seperti itu tidak layak untuk berada dalam negara yang berbilang kepercayaan dan pegangan. Apatahlagi untuk hidup di sebuah negara yang majoriti muslim seperti Malaysia. Jika di India dia boleh melihat layanan masyarakat Hindu terhadap mereka yang memakan lembu. Betapa kejam, zalim dan sewenangnya mereka membantai dan membunuh orang yang mengamalkan pegangan yang menyanggahi majoriti. Namun, di Malaysia kita memilih jalan yang harmoni. Jangan pula suasana baik ini dicemar dengan kebiadapan.

5. Sikap biadap lelaki itu sebenarnya mewakili sejumlah golongan sepertinya dalam negara ini yang menyimpan sikap anti amalan agama masyarakat muslim. Hal ini makin berkembang dari hari ke hari. Masyarakat muslim hendaklah sedar tentang perkembangan yang tidak baik ini. Satu persidangan khas perlu diadakan dalam membincangkan fenomena ini. Kita mahu negara yang aman untuk semua pihak.

6. Masyarakat Islam sepatutnya berusaha mengambil gadis tersebut bekerja di tempat yang halal dan baik. Ini tanda penghargaan terhadap sikap beliau itu. Saya sendiri secara peribadi ingin bertemu dengannya.

Tiada ulasan: