"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Lepas 3 tahun sertai DAP, pegangan agama saya tak luntur'

Anne Muhammad

WAWANCARA | Bekas aktivis Pemuda PAS Sheikh Omar Ali berkata pegangan agamanya tidak luntur meski sudah bersama DAP lebih tiga tahun.

Sedangkan, tambah Sheikh Omar, parti lamanya kini "menggunakan Islam" demi keabsahan politik.

Sheikh Omar yang kini juga merupakan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh berkata, sebelum PAS “bersama” Umno, mereka menggunakan pelbagai alasan agama untuk menolak DAP.

Namun, jelasnya, keadaan sudah bertukar sebaliknya apabila Pakatan Harapan (HARAPAN) memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang menyaksikan PAS pula mesra Umno dan MCA.

“Kadang-kadang elemen Islam itu betul-betul jadi alat untuk keabsahan politik mereka. Dulu orang percaya tak percaya. Sekarang kalau kita tengok tindak tanduk PAS, boleh bersama Umno, MCA, kita boleh kompromi.

“Sebelum ini dalam DAP, bila kau tak nak DAP, mereka cakap DAP anti-Islam. Tapi bila dengan MCA, boleh diterima pula.

“Tindak tanduk PAS menunjukkan mereka menggunakan keagamaan yang sempit dah begitu parah.

"Jangan heret agama dalam kancah politik, akhirnya orang lihat Islam ini buruk kerana dipergunakan untuk kepentingan politik,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Pada Jun 2016 seorang pemimpin PAS dilaporkan berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggadaikan prinsip apabila bersekongkol dengan DAP "yang nyata menjadi musuh Islam".

“PAS dahulu buat kesilapan dengan bersekongkol dengan DAP sebelum mereka menyedari bahawa parti berkenaan memusuhi Islam.

“Saya harap Dr Mahathir perbanyakkan istighfar dan hentikan jalin kerjasama dengan DAP,” beliau dipetik sebagai berkata.

Kenyataan serupa itu juga dikeluarkan oleh Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman yang menyifatkan DAP menentang pelaksanaan hukum Islam dan mahu menubuhkan negara sekular, serta tergolong dalam kalangan kafir harbi yang "wajib ditentang umat Islam".

Terima kecaman akibat sertai DAP

Sheikh Omar yang menyertai DAP pada Jun 2015 berkata, anggota PAS yang masih ada boleh menilai dirinya yang telah menyertai DAP dan kini pegangan agamanya masih tetap tidak luntur.

“Saya rasa agama ini tentang diri kita. Dia tak gambarkan kita masuk DAP, agama kita pun luntur juga, tak. Boleh jadi, kita yang dalam DAP ni lebih Islamik dari yang bukan DAP. Itu bukan satu masalah besar,” katanya.

Graduan Usuluddin Universiti Malaya (UM) itu juga berkata rakyat boleh menilai budaya politik baru yang diwujudkan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

“Ternyatalah, pemikiran yang ‘oh DAP ni mesti tak Islamik lah ni’, hakikatnya tak macam tu pun.

“Saya rasa kalau tak ada hegemoni yang dibentuk oleh Umno untuk kukuhkan kuasa mereka… Bingkai tu dah terbentuk oleh kerajaan dulu. Saya rasa, akhirnya hal ini akan luntur,” katanya.

Katanya lagi, beliau mendapat kecaman hebat daripada anggota PAS ketika mula-mula menyertai DAP dan kini apabila menjawat jawatan dalam kerajaan negeri dan berdepan dengan rakyat sedikit sebanyak dapat membuktikan hal-hal yang diperkatakan itu "tidak benar".

“Sekarang ni, kalau orang hentam, saya tak perlu pertahan sangat macam dulu. Tengoklah saya sekarang. Orang boleh tengok sendiri, penampilan saya, keberadaan saya, menjadi hujah terhadap dakwa-dakwi yang dulu itu,” katanya.

Elak politik lama BN

Sheik Omar menambah, sejak menjawat jawatan Exco Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif Johor, kehidupannya sedikit berubah, daripada seorang aktivis politik, kini menjawat jawatan penting dalam kerajaan negeri.

“Saya rasa, saya sebagai exco, dengan politik baru pasca PRU ke-14, cabaran kita lebih besar. Kita cuba elak budaya politik lama yang diwariskan dari BN.

“Kita jadi exco, kadang-kadang orang ingat kita ni serba ada. Tapi kita kerajaan baru, serba baru,” katanya.

Katanya lagi, meskipun memiliki pendapatan yang besar sedikit berbanding sebelum ini, namun satu pertiga dari gajinya juga turut disumbangkan kepada rakyat di kawasan Paloh.

“Jujurnya, walaupun saya ada elaun dan gaji sekalipun, tak melampau saya katakan satu pertiga daripada gaji adalah untuk kawasan.

“Peruntukan kerajan negeri memang ada, tapi keadaan ekonomi sekarang bukanlah macam dulu,” katanya.
-malaysiakini

Tiada ulasan: