"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kini, bekas hakim pula dijangka pegang jawatan speaker Dewan Rakyat

FMT Reporters

Mohamad Ariff Md Yusof (kiri) dan Mohd Hishamudin Yunos dikatakan mempunyai ‘rekod yang sempurna dalam menjalankan tugas mereka secara adil’.

PETALING JAYA: Rancangan untuk melantik seorang ahli parlimen sebagai speaker Dewan Rakyat mungkin diabaikan kerana terdapat kebimbangan keputusan itu tidak sesuai dengan janji Pakatan Harapan (PH) untuk memastikan keadilan dalam perbahasan Parlimen, dedah sumber terdekat dalam kalangan kepimpinan tertinggi.

Sebaliknya, 2 hakim Mahkamah Rayuan yang bersara, kini menjadi pilihan walaupun mendapat tekanan daripada PKR supaya melantik orangnya sebagai sebahagian “kompromi” bagi keadaan di mana wakil pilihannya “diketepikan” untuk jawatan menteri besar di beberapa negeri.

Sumber itu berkata bekas hakim Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dan Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunos disukai bukan sahaja kerana pengetahuan mereka mengenai undang-undang, tetapi juga kerana tiada kesetiaan politik yang ditunjukkan ketika mereka bertugas dulu.

Kedua-dua hakim itu bersara pada 2015. Mereka terkenal dengan beberapa penghakiman yang tidak memihak kepada pihak berkuasa, terutama dalam kes berkaitan dengan undang-undang zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Rahsia Rasmi.

Hishamudin juga terlibat dalam beberapa penghakiman penting yang menyentuh isu perlembagaan, termasuk kes wanita yang dilahirkan ibu bapa Hindu, mencabar penukaran agamanya kepada Islam oleh pihak berkuasa agama Pulau Pinang, dan meminta kes itu diperdengarkan di mahkamah sivil.

Kumpulan G25 yang terdiri daripada bekas pegawai tinggi awam juga menyokong kedua-dua nama tersebut dengan mengatakan mereka mempunyai “rekod yang sempurna dalam menjalankan tugas mereka secara adil”.

Sumber memberitahu FMT, pengumuman yang dirancang hari ini berhubung calon kerajaan bagi jawatan speaker kemungkinan akan ditangguhkan, disebabkan percanggahan pendapat.

Selepas pertemuan pemimpin tertinggi PH hujung minggu lalu, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata mengesahkan speaker baharu daripada kalangan ahli parlimen, berbeza dengan cara BN sebelum ini.

Beliau berkata langkah itu bagi memastikan rasa tanggungjawab dalam kalangan ahli Dewan Rakyat.

Jawatan itu sebelum ini diduduki oleh ahli politik Sabah, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, yang dikritik oleh pembangkang kerana berat sebelah kepada BN, terutama dalam topik berkaitan 1MDB.

Beberapa nama telah dikhabarkan untuk jawatan itu, termasuk 2 ahli politik veteran – bekas menteri Tan sri Rais Yatim dan orang kuat DAP Lim Kit Siang.

PKR pula mengesyorkan bekas ketua cawangan Datuk Johari Abdul, tetapi ia menimbulkan bantahan daripada individu berpengaruh yang merujuk kepada penglibatannya dalam Biro Tata Negara (BTN), agensi yang dikendalikan kerajaan dulu yang dikritik kerana program mempengaruhi pemikiran penjawat awam.

Manakala Rais, walaupun sesuai dengan imej sebagai speaker kerana latar belakang undang-undangnya, juga tidak mungkin mengisi jawatan tersebut kerana latar belakangnya sebagai ahli politik.

Sementara itu, Lim juga disebut-sebut kerana pengalamannya selama berdekad berbahas di Parlimen. Beliau juga dilihat melalui tindakan buruk yang dikenakan terhadapnya, termasuk penggantungan daripada menghadiri sesi Dewan Rakyat baru-baru ini.

“Dia akan menjadi calon yang sempurna. Tetapi jelas, ini akan menimbulkan kekacauan dalam kalangan parti komponen lain dalam gabungan pemerintah,” kata sumber itu.

Tiada ulasan: