"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Serangan siber, Malaysia boleh rugi hingga AS$12.2 bilion

Bernama

KUALA LUMPUR: Malaysia berkemungkinan mengalami kerugian sehingga AS$12.2 bilion (AS$1=RM4.04), iaitu 4% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak AS$296 bilion, disebabkan insiden keselamatan siber.

Berdasarkan kajian Microsoft dan firma perunding Amerika Syarikat, Frost & Sullivan, organisasi besar di negara ini boleh menanggung kerugian AS$22.8 juta, 630 kali lebih tinggi berbanding syarikat biasa.

“Serangan keselamatan siber mengakibatkan kehilangan pekerjaan merentas pelbagai fungsi dalam 3 daripada 5 organisasi yang mengalami serangan siber sejak 12 bulan terakhir,” kata Saigo Agarwal, Naib Presiden Pemasaran Asia Pasifik Frost & Sullivan, pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata kerugian itu dikira berasaskan model data makroekonomi dan maklumat yang dikongsi oleh responden dalam kaji selidik.

Kerugian tersebut mungkin dalam bentuk kerugian kewangan langsung manakala kerugian tidak langsung mungkin dalam bentuk kehilangan reputasi akibat daripada kos peluang kepada organisasi dan kos teraruh (induce) disebabkan kesan pelanggaran siber dalam keseluruhan ekosistem dan ekonomi.

“Walaupun kerugian langsung akibat pelanggaran keselamatan siber paling ketara, ia hanya sebahagian kecil daripada yang sebenarnya,” katanya.

Pegawai Teknologi Kebangsaan Microsoft Malaysia Dr Dzaharudin Mansur, pula berkata serangan keselamatan siber akan menjejaskan kemampuan organisasi untuk memperoleh peluang masa depan dalam era digital.

“Dunia ekonomi digital bergerak dengan pantas. Ancaman ini adalah yang sebenar dan ia semakin menjadi lebih berbahaya.

“Mereka yang bergantung kepada sambungan Internet, seperti bandar pintar, kenderaan autonomi dan industri tenaga, boleh terjejas sekiranya langkah yang betul tidak diambil,” katanya.

Pautan paling lemah yang boleh menyebabkan ancaman siber terhadap alam sekitar ialah manusia sendiri, kata Dzaharudin.

“Kita mendapat e-mel setiap masa yang meminta kita supaya klik pada pautan untuk mendapatkan sesuatu secara percuma – wang, sebagai contoh. Separuh daripada kita klik pada jam pertama. Ini sendiri telah membuka pintu kepada penggodam untuk menyusup sistem, sekali gus menyebabkan masalah yang lebih besar,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Amirudin Abdul Wahab berkata sebagai negara yang menuju kepada era digital, risiko akan meningkat.

“Lebih luas sambungan internet dan digitalisasi, semakin mudah bagi setiap orang untuk dijadikan sasaran. Kita perlu bersedia untuk menghadapinya dan mencari cara untuk mengurangkan risiko,” katanya.

Tiada ulasan: