"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Definisi 'martabatkan Islam' PAS tidak jelas, kata Hanipa

Anggota Parlimen Sepang, Hanipa Maidin mempersoalkan sikap PAS kerana mempertikai beberapa siri pelantikan dalam sektor undang-undang dan badan kehakiman.

Hanipa mempersoalkan apakah definisi sebenar 'memartabatkan Islam' oleh PAS yang didakwanya tidak jelas dan tidak selari dengan 'sejarah kecemerlangan Islam'.

"Apabila saya membaca beberapa kenyataan pemimpin parti tersebut, saya dapati hujah mereka lebih diwarnai emosi serta budaya sloganistik dari nilai intelektualisme yang tinggi.

"Bagi saya, sikap sebegitu amat tidak selari dengan sejarah kecemerlangan Islam yang ditonjolkan oleh para alim ulamanya di sepanjang zaman.

"Yang jelas tidak jelas dari kenyataan mereka bagaimana mereka mendefinisi martabat Islam yang dikatakan semakin samar itu di era PH (Pakatan Harapan).

"Saya juga tidak pasti bagaimana mereka mengukur usaha keras HARAPAN misalnya mempamerkan dasar ketelusan, menentang pembaziran, rasuah dan salah guna kuasa dari kacamata Islam," jelasnya dalam satu kenyataan.

Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan semalam mendakwa beberapa siri pelantikan dalam sektor undang-undang dan kehakiman oleh kerajaan HARAPAN baru-baru ini sangat meresahkan umat Islam.

Beliau merujuk pelantikan hakim kanan Tan Sri Richard Malanjum sebagai ketua hakim negara, Datuk Liew Vui Keong sebagai menteri di jabatan perdana menteri yang menjaga ehwal undang-undang serta Tommy Thomas sebagai peguam negara.

“Melihat tiga posisi penting ini telah diisi oleh sosok yang sangat meresahkan umat Islam, maka apakah masih ada harapan rakyat khasnya umat Islam untuk melihat masa depan Islam terus terbela di bumi Malaysia ini khasnya dalam hal yang melibatkan undang-undang,” soal Nasrudin.

Pemimpin PAS itu juga mendakwa rekod Malanjum membuktikan penghakimannya jelas tidak menyebelahi Islam dalam beberapa kes penting seperti kes murtad membabitkan Lina Joy atau nama sebenarnya Azlina Jailani pada 2006.

Malanjum juga merupakan salah seorang daripada tiga hakim yang mengundi untuk membenarkan kalimah Allah merujuk kepada Jesus oleh akhbar The Herald.

Ambil masa baca perlembagaan

Hanipa yang juga timbalan menteri undang-undang berkata beliau secara tidak langsung terkait apabila pelantikan Liew Vui Keong turut dipersoalkan.

"Saya berani menegaskan yang ketua saya iaitu YB Menteri, dari hari pertama lagi, secara jelas meminta segala isu yang berkaitan agama Islam dan syariah misalnya ditangani oleh saya.

"Lihatlah betapa beliau amat berhati hati dan berjaga jaga dengan sensiviti agama," katanya.

Menurut Hanipa, beliau sendiri telah mengambil inisiatif untuk berjumpa dan berbincang dengan pihak berkepentingan yang terlibat secara langsung dengan isu pentadbiran agama Islam dan syariah di negara ini.

"Mengenai Peguam Negara , mereka yang gusar dan bimbang tak menentu itu hanya perlu ambil masa sedikit membaca Perlembagaan Persekutuan yang secara jelas menggaris sempadan wilayah peguam negara dalam isu berkaitan syariah.

"Begitu juga dengan peranan, kuasa dan jurisdiksi Ketua Hakim Negara.

"Memetik keputusan/penghakiman menentang ( dissenting judgement ) Ketua Hakim Negara dalam kes tertentu dan terus dengan laju menyimpulkan kononnya Islam digugat adalah, maaf, satu sikap dan adab yang paling tidak bertanggungjawab.

"Sikap sebegitu, bagi saya, hakikatnya yang meremehkan martabat dan kecermerlangan Islam," jelasnya.

Tiada ulasan: