"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ceramah berunsur hasutan, PDRM digesa siasat Naib Ketua Umno Pokok Sena

AKMAL MANAF
Ramli menunjukkan laporan polis yang telah dibuat di IPD Dang Wangi, hari ini.
Gerakan Memartabatkan Pejuang Negara (GMPN) menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menyiasat Naib Ketua Umno Bahagian Pokok Sena, Kedah, Noran Zamini Jamaludin.

Gesaan itu disuarakan GMPN kerana mendakwa, ceramah oleh Naib Ketua Umno Pokok Sena itu mengandungi unsur hasutan yang berpotensi menjejaskan keharmonian kaum.

Presiden GMPN, Mejar Razali Zakaria berkata, 80 peratus intipati dalam ceramah yang diadakan di Melaka pada 14 April lalu, adalah tipu.

“Dalam audio itu, Noran menuduh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Timbalannya, Liew Chin Tong sebagai parti komunis.

“Noran juga ada menghasut dan menakutkan orang Melayu yang tidak bersama Pakatan Harapan (PH), dengan menyatakan insiden pembunuhan beramai-ramai seperti di Rohingya akan berlaku.

“Dalam ceramah itu, mereka turut mengatakan ada pembunuhan dan ancaman kepada orang Melayu Islam jika parti DAP memerintah negara ini.

“Itu semua adalah satu bentuk hasutan dan fitnah politik.. ianya tidak benar sama sekali,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selepas membuat laporan polis berhubung ceramah hasutan itu.

Turut hadir, Penasihat Utama GMPN, Ramli Kamarudin dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Orang-Orang Miskin Se Malaysia, Mohd Solleh Ibrahim.

Dalam ceramah itu, Razali mendakwa, niat sebenarnya Noran adalah untuk menghasut orang ramai supaya tidak menyokong kerajaan sedia ada.

“Jadi kami menggesa pihak PDRM menyiasat Noran Zamini supaya tindakan boleh diambil dan menjadi pengajaran kepada penceramah yang lain,” katanya lagi.

Tiada ulasan: