"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Ada pihak tak senang Dr M mahu Hamid jadi IGP'

Faisal Asyraf

Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dilihat sebagai pilihan utama Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menjadi ketua polis negara (IGP) yang baru.

Bagaimanapun, menurut sumber, ada ura-ura mengatakan beberapa pihak dalam polis tidak berapa senang dengan pilihan perdana menteri itu.

Sekiranya Abdul Hamid dilantik menjadi ketua polis negara yang baru menggantikan Mohamad Fuzi Harun yang dijangka bersara minggu ini (4 Mei), dia akan menjawat jawatan itu dengan status kontrak.

"Pilihan Tun (Dr Mahathir) tidak begitu disenangi pihak tertentu.

"Persoalan yang ditimbulkan ialah: kenapa lantik seseorang yang berstatus kontrak? Sedangkan sepatutnya ada calon lain dengan gred penjawat awam yang sesuai yang sedang menunggu untuk menjawat jawatan itu," kata sumber.

Tambahnya, perkara itu dibincang dan didebatkan dalam sebuah mesyuarat Kementerian Dalam Negeri.

"Ada contoh kes sebelum ini merujuk kepada pelantikan Mohamed Khalid Yusuf sebagai Ketua Pengarah Kastam atas kontrak.

"Jadi dari segi itu, dipersetujui bahawa tiada masalah untuk melantik ABdul Hamid sebagai IGP atas kontrak," katanya.

Untuk rekod, Mohamed Khalid menjadi ketua pengarah Kastam atas status kontrak setahun, dari Jun 2011 hingga Jun 2012.

Abdul Hamid berat hati

Sumber juga berkata Dr Mahathir berkeras untuk melantik Abdul Hamid sebagai IGP.

"Dr Mahathir melihat Abdul Hamid yang merupakan bekas pengarah Cawangan Khas sebagai calon yang tepat untuk jawatan itu dengan mengambil kira pengetahuan dan pengalamannya.

"Dr Mahathir merasakan Abdul Hamid merupakan orang terbaik untuk menerajui polis menjaga keamanan dalam situasi cabaran politik di negara ini ketika ini," katanya.

Bagaimanapun, tambah sumber, Abdul Hamid dikatakan keberatan untuk dilantik susulan ura-ura yang mengatakan ada pihak tidak begitu senang jika dia dilantik menjadi IGP.

Ketika diminta untuk mengulas, Abdul Hamid memberitahu Malaysiakini: "Susah untuk saya ulas... Tapi saya sudah difahamkan bahawa Tun (Dr Mahathir) akan mengumumkan pengganti (IGP) minggu ini selepas mendapat perkenan Yang di_pertuan Agong.

"Apapun, kerajaan tahu apa yang terbaik untuk negara," katanya.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata nama calon pengganti IGP sudah diserahkan kepada Dr Mahathir beberapa minggu lalu.

Jelas Muhyiddin, Dr Mahathir akan meneliti senarai calon sebelum mengemukakannya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan.

Muhyiddin juga berkata perdana menteri mempunyai hak untuk membuat pertukaran.

"Jika beliau (Dr Mahathir) mahu buat penukaran sebelum mengemukakan nama calon IGP kepada Yang di-Pertuan Agong, itu haknya sebagai perdana menteri," kata Muhyiddin.

Hampir empat dekad berkhidmat bersama PDRM, Abdul Hamid menjadi perhatian pada 2015 apabila membuat dakwaan ada pihak tertentu yang menyembunyikan saksi utama dalam siasatan kes 1MDB, selain mendesak siasatan dibuat secara telus.

Ketika itu beliau menjadi timbalan pengarah Cawangan Khas (SB).

Abdul Hamid kemudian dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri - bersama-sama pengarah bahagian operasi khas SPRM ketika itu Bahri Mohd Zin - sebulan selepas khidmat Abdul Gani Patail sebagai peguam negara ditamatkan.

Beliau kembali ke PDRM apabila dilantik sebagai pengarah SB beberapa minggu selepas Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan.

Tiada ulasan: