"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ugut cederakan mufti Perlis, lelaki ditangkap

Predeep Nambiar
Tangkap layar video lelaki yang didakwa mengugut untuk mencederakan mufti Perlis, Mohd Asri Zainal Abidin.
GEORGE TOWN: Seorang kerani berusia 36 tahun ditangkap polis kerana disyaki mengugut mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin, dalam satu rakaman video di WhatsApp baru-baru ini.

Ketua Polis Perlis Noor Mushar Mohd berkata, lelaki itu ditangkap di pangsapuri Batu Uban, di sini, jam 12.30 pagi tadi oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, Padang Besar, Perlis.

Beliau memberitahu FMT, polis mendapat perintah reman 4 hari ke atas lelaki itu hingga 6 Mei untuk disiasat kerana ugutan jenayah di bawah Kanun Keseksaan dan juga salah guna khidmat internet di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia, 1998.

Lelaki itu disyaki membuat rakaman video berdurasi 5.31 minit yang tular di WhatsApp.

Beliau menggunakan perkataan yang menghina dan mengancam untuk berlawan dengan Asri.

Lelaki tersebut memberi nombor telefon bimbitnya dan mencabar Asri supaya menghubunginya.

Semalam, Asri membuat laporan polis selepas menerima mesej berbaur ancaman dan ugutan itu Rabu lalu.

Beliau membuat laporan itu di Balai Polis Padang Besar kerana bimbang keselamatan diri serta keluarganya.

Noor Mushar berkata, Asri menerima satu mesej daripada pemilik akaun Facebook bernama “Sandev Sandev” yang mengancam untuk memukulnya sehingga parah.

Tiada ulasan: