"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerajaan PN didakwa sembunyi kes kehilangan dana 1MDB RM14.64 bilion

SITI NUR ZAWANI MISCON

Kes kehilangan dana 1MDB sebanyak AS$3.5 bilion (RM14.64 bilion) yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan dana negara Abu Dhabi, dilaporkan telah ditangguhkan secara senyap-senyap oleh kerajaan Perikatan Nasional.

Sarawak Report mendedahkan, selepas pembebasan Riza Abdul Aziz (anak tiri Najib Razak), Musa Aman, dan Goldman Sachs, kini dakwaan terhadap International Petroleum Investment Company (IPIC) pula ditangguhkan.

Ia dipercayai setelah kedua-dua pihak bersetuju untuk memilih perjanjian rundingan yang ‘selesa’ sebagai gantinya.

“Ini adalah petunjuk yang paling jelas bahawa ‘agensi’ itu telah menggunakan kudeta pintu belakang Malaysia untuk satu tujuan utama, iaitu menarik pemain utama dan memulihkan cengkaman perniagaan kartel Umno dan elit istimewa yang mendapat keuntungan dari sogokan dan konsesi.

“Yang rugi, sekali lagi, ialah rakyat yang telah menyaksikan sebuah kerajaan yang dipilih ditumbangkan oleh rasuah, bayaran tunai dan taktik ganas yang disokong kumpulan yang mempunyai kepentingan bersama dengan China,” lapor portal berkenaan.

Sebelum ini dilaporkan, syarikat IPIC telah berhutang dengan 1MDB seperti yang didakwa Najib Razak.

Menerusi hantaran Facebook pada November 2018, Najib berkata penyelesaian IPIC dengan 1MDB yang tidak didedahkan kepada umum menunjukkan firma berpengkalan di Abu Dhabi itu sepatutnya membayar dana yang didakwa hilang menjelang tahun 2020.

“Ini ialah kerana IPIC yang hutang pada kita dan bukan sebaliknya,” katanya.

Najib berkata, dana sebanyak AS$3.5 bilion itu sepatutnya dibayar kepada anak syarikat IPIC, Aabar Investments PJS.

Bagaimanapun, firma Abu Dhabi itu mendakwa ia tidak pernah menerima wang tersebut.

Tiada ulasan: