"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lebai ni jadi ‘garang’ terhadap pendakwah selepas terajui YADIM

Nasrudin jadi ‘garang’ terhadap pendakwah selepas terajui YADIM
USTAZ MOHD FAKRULRAZI MOHD MOKHTAR


Kenyataan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiyyah Malaysia (YADIM), Nasrudin Hassan bahawa pendakwah yang aktif di media sosial perlu mendapatkan tauliah adalah kenyataan dangkal dan mengelirukan.

Kenyataan beliau menunjukkan ‘warna sebenar’ beliau dalam dunia dakwah Islamiyyah, bahawa beliau bukan mahu memudahkan para pendakwah atau membantu mengembangkan dakwah, sebaliknya lebih menyekat dakwah golongan yang bukan senada dan seangkatan dengannya.

Apa yang dikesalkan kenyataan itu terbit dari mulutnya sendiri selepas memegang teraju sebagai Yang Di Pertua YADIM. Kerana terlalu mahu menjaga kedudukan dan periuk nasinya, beliau tergamak bertukar menjadi ‘garang’ dan tegas terhadap para pendakwah terutama di ruang media sosial sehingga meminta pendakwah di media sosial untuk mendapatkan tauliah.

Sedangkan sepatutnya YADIM sebagai sebuah agensi yang memudahkan para pendakwah, memberi galakan dan dorongan kepada semua umat Islam berdakwah lebih lagi melalui ruang media sosial, bukan meletakkan syarat mendapatkan tauliah.

Beliau sepatutnya berfikir bagaimana dapat memudahkan tauliah kepada semua pendakwah supaya mesej Islam dapat disebarkan seluas mungkin di bumi Malaysia ini.

Isu tauliah bagi pendakwah menyampaikan pengisian di masjid dan surau seluruh negara tidak dipertikaikan. Namun, sebagai umat Islam terlebih lagi pengguna media sosial, semua umat Islam bertanggungjawab menyebarkan dakwah tidak kira siapa mereka, sama ada mendapat tauliah ataupun tidak.

Lebih lagi dalam keadaan fitnah yang sangat besar pada hari ini, di mana terlalu banyak kebatilan, penipuan, fitnah dan kemungkaran disebarkan dengan cepat melalui media sosial.

Justeru, bagi umat Islam yang prihatin, mereka bertanggungjawab menyampaikan Islam, memberi nasihat, pandangan mahupun teguran berdasarkan kepada dalil Al Quran dan Hadis.

Media sosial adalah ruang terbaik buat umat Islam menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Ia terbukti berkesan, cepat dan menyeluruh kerana majoriti masyarakat adalah sebagai pengguna media sosial.

Pelbagai mesej yang baik dapat disampaikan dengan media sosial, selain teguran dan nasihat-menasihati kepada golongan yang jahil dan lupa. Ustaz Nasrudin sendiri adalah pengguna media sosial yang aktif dan kerap mengirimkan penulisannya sebagai bahan bacaan masyarakat.

Tiada siapa pertikai sama ada beliau mendapat tauliah atau tidak sebelum ini sehinggalah beliau sendiri yang membangkitkannya terhadap orang lain.

Saya yakin Ustaz Nasrudin bukan jahil memahami bahawa berdakwah bukan hanya terletak di batu jemala para asatizah, ulamak dan para mufti semata-mata. Sesiapa juga yang mempunyai kesedaran dan pemikiran Islam, wajib turun berdakwah dalam apa juga cara dan keadaan melalui syariat Islam yang betul dan niat yang ikhlas kerana Allah.

Daripada berceramah di pentas pidato, di mimbar masjid, sebagai penulis buku, pengarang puisi, pengarah filem, teater dan drama, pelakon dan penyanyi, penulis di media sosial sehinggalah kepada mereka yang hanya mampu melekat poster, memacak bendera, menyusun kerusi meja.

Bukankah perkataan ini yang beliau selalu lontarkan dalam ceramah dan program dalaman bersama ahli Pas suatu ketika dahulu?

Semua mengetahui bahawa dakwah yang disampaikan mestilah benar dan jujur melalui sumber yang sahih dan bukan palsu atau fitnah. Pendakwah jangan menyeleweng dari aliran selain dari Ahli Sunnah Wal Jamaah, tidak mengajak kepada perpecahan, jangan ada permusuhan, benci-membenci sehingga berdendam sesama umat Islam.

Selain itu, para pendakwah perlu mempunyai pengetahuan mengenai sesuatu yang ingin disampaikan, bukan hanya menyebar sebarang berita yang tidak diketahuinya.

Dalam soal ini, ia berkait dengan sumber penyampaian maklumat dakwah, dan bukan faktor kelayakan akademiknya atau tauliah yang diperolehinya.

Apakah Nasrudin bersetuju agar mereka yang tidak memiliki tauliah supaya hanya berdiam diri dengan membiarkan kemungkaran dan penipuan berleluasa di media sosial dalam keadaan mereka mengetahui, sedar dan faham?

Bukankah implikasi dari kenyataan beliau itu bahawa hanya pihak yang memiliki tauliah sahaja boleh menulis di media sosial, manakala sebahagian besar umat Islam tidak mengambil peduli soal agama, rakyat dan negara kerana tidak memiliki tauliah seperti yang beliau maksudkan.

Jika ini berlaku, malang bagi Pas dan umat Islam yang memiliki pemimpin seperti Nasrudin Hassan. Kasihan pula pada YADIM mendapat pemimpin yang mundur seribu langkah ke belakang, masih memikir dan berbahas soal remeh temeh, isu teknikal dan kecil tetapi terlepas pandang mengenai wawasan dakwah yang luas menanti di hadapan.

*Penulis merupakan Ahli Dewan Negeri Meru, Selangor.

Tiada ulasan: