"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemilihan sulung PPBM hambar tanpa kumpulan Dr M

Nora Mahpar
PETALING JAYA:
Penganalisis politik menjangkakan pemilihan sulung PPBM tidak kompetitif dan hambar tanpa saingan daripada kumpulan diketuai bekas pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad, dengan kumpulan diketuai Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin akan menguasai jawatan utama dalam pemilihan sayap Pemuda serta Wanita minggu ini.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, tiada ahli yang berani mencabar jawatan presiden dipegang Muhyiddin yang juga perdana menteri.

“Mencabar jawatan ini dianggap mencabar kewibawaan perdana menteri. Justeru cara paling selamat ialah terus bagi laluan kepada Muhyiddin untuk terus ketuai parti,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan kemampuan calon tunggal timbalan presiden, Ahmad Faizal Azumu yang ibarat langit dengan bumi jika dibandingkan dengan Muhyiddin.

Ini kerana katanya, jika Muhyiddin berundur secara tiba-tiba, timbalan presiden yang akan mengambil alih tampuk kepimpinan parti.

“Beliau seolah-olah mendapat rezeki terpijak dan terselamat daripada pesaing politik sebenar. Jadi, apabila ini berlaku, ia tidak menguntungkan PPBM dari segi jangka panjang untuk mendapatkan calon lebih karismatik dan berwibawa.

“Sejauh mana keyakinan akar umbi PPBM sendiri dan rakyat, sekiranya beliau dicalonkan sebagai calon perdana menteri? Sudah tentu dilihat tidak muat kasut kuasa untuk diisikan kerana jurang sangat besar dengan Muhyiddin.”

Beliau berkata, jawatan naib presiden akan menjadi tumpuan pemilihan pertama PPBM, lebih-lebih lagi dengan kehadiran Rashid Abdul Rahman yang menyokong Mahathir dan dianggap mempunyai kelebihan kerana berpengalaman luas dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Namun, ahli PPBM seolah-olah kurang menghargai sumbangan besar beliau kepada parti dan negara. Sekiranya Rashid kalah, ia menunjukkan ahli parti tidak mampu membezakan permata dan suasa.”

Pemilihan Pemuda dan Wanita PPBM bermula hari ini, manakala pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi dijadualkan 22 Ogos ini.

Bulan lalu, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PPBM mengumumkan lebih separuh daripada keseluruhan 404 calon yang bertanding bagi beberapa jawatan tertinggi parti itu berdepan tindakan dilucutkan keahlian serta-merta kerana didapati terbabit kumpulan “Blackout” yang merupakan gerakan menjatuhkan parti dengan menjadi penyokong kuat Mahathir.

Berdasarkan semakan terkini senarai calon layak bertanding dalam pemilihan PPBM yang dikeluarkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) semalam, 389 calon dijangka merebut jawatan tertinggi parti, termasuk di peringkat Pemuda dan Wanita.

Fokus pemilihan PPBM terletak pada jawatan naib presiden yang ditandingi 17 calon, termasuk Ronald Kiandee, Md Redzuan Yusof, Rashid, Mazlan Bujang dan Radzi Md Jidin.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia menjangkakan saingan daripada kumpulan Mahathir pudar kerana ada calon dan ahli dikenakan tindakan disiplin serta dibatalkan pencalonan dan keahlian.

Katanya, tindakan penyokong Mahathir memboikot pemilihan PPBM atau keluar parti ialah kesilapan besar kerana ia menyebabkan saingan dalam pemilihan itu seolah-olah tidak wujud.

“Oleh kerana PPBM ketika ini diasak kumpulan Mahathir dari dalam dan luar parti, maka menjadi keutamaan ahli daripada kumpulan Muhyiddin tidak mengucar-kacirkan lagi keadaan.

“Sebab itu tiada pertandingan bagi kedua-dua jawatan tertinggi demi mempamerkan sokongan padu kepada presiden dan timbalannya yang juga kita tahu adalah penyokong kuat Muhyiddin.”

Beliau berkata, calon berstatus ahli Parlimen mempunyai kelebihan dalam pemilihan parti.

“Tidak syak lagi calon berstatus ahli Parlimen, lebih-lebih lagi ada jawatan menteri mempunyai kelebihan, tetapi tidak mengejutkan juga jika mereka tewas kepada calon kurang dikenali.”

Tiada ulasan: