"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cukup-cukuplah guris hati rakyat Kelantan

MALAYSIA DATELINE

Dalam keadaan jurang kemiskinan rakyat semakin tinggi akibat pandemik COVID-19 dan dibeban pula dengan kenaikan pelbagai cukai tanah, cukai pintu dan cukai pecah lot tanah, tergamak pemimpin kerajaan negeri Kelantan mencadangkan kenaikan gaji pokok Exco dan Adun.

Naib Pengerusi AMANAH Kelantan Rushdan Mustafa berkata, kenaikan dari RM3,000 ke RM5,000 atas alasan untuk menyeragamkan dengan negeri-negeri dan mendakwa peranan mereka seperti Pegawai Kebajikan Masyarat adalah tidak masuk akal.

Katanya, sekali gus menafikan peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai Jabatan Persekutuan yang bertanggungjawab kepada golongan yang kurang bernasib baik di negeri Kelantan.

“Apakah ini yang Islam ajar kepada pemerintah yang mendakwa sebagai Kerajaan Ulamak dibawah Negeri Serambi Mekah dalam keadaan rakyat teruk menderita ekonominya? Atau sengaja memesongkan apa yang diajar oleh Al-Quran untuk menghalalkan cara?

“Sepatutnya dalam keadaan rakyat menghadapi kesusahan tumpuan patut diberi untuk membantu rakyat. Peruntukan yang besar perlu dibentangkan.

“Nilaian Bakul Rakyat mesti di naikkan ke angka RM200 ke RM300. Apatah lagi Kelantan kini bakal berdepan dengan musim tengkujuh tidak lama lagi,” kata beliau dalam kenyataan.

Slip gaji menunjukkan jumlah gaji atau elaun Exco Kerajaan Pas Kelantan yang sedang tular

Tegasnya, menaikkan pendapatan disaat airmata rakyat berlinangan memohon sekampit beras dan sekilo gula adalah sarat dengan kemarahan yang tidak dapat dibendung.

“Tidak cukupkah lagi menguris hati rakyat dengan kereta mewah yang dibeli dari wang rakyat?

“Apakah derita rakyat yang kehilangan rumah kerana banjir besar telah diatasi? Apakah segala tunggakan kepada kakitangan YIK yang tertangguh telah dibayar sepenuhnya memandangkan seolah-olah kerajaan negeri telah kukuh kewangannya?

“Fikir tembolok sendiri atau berkhidmat untuk rakyat?” soal beliau.

Katanya, Kelantan tidak terkecuali terima ancaman COVID-19 malah kesulitan yang dirasai merangkumi semua taraf rakyat sama ada yang berkemampuan dan tidak berkemampuan, di bandar atau di ceruk kampung.

“Saban hari terpapar di dada media sosial betapa peritnya rakyat Kelantan berdepan dengan kepayahan hidup angkara covid 19. SOP dan norma baru terpaksa dilalui dengan berat hati.

“Ada yang dibuang kerja, ada yang terpaksa menutup kedai kerana kekurangan pelanggan. Kerjaya kais pagi makan pagi juga telah terjejas teruk,” katanya.

Tiada ulasan: