"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis sambut dengan gari

Amirul Aiman Hamsuddin

EMPAT pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan polis selepas cuba memasuki negara ini secara haram di jalan besar Sungai Lang, pagi semalam. IHSAN PDRM

Sabak Bernam: Gembira hanya seketika apabila dua lelaki dan dua wanita warga Indonesia yang baru menyusup masuk ke negara ini 'disambut' oleh sepasukan anggota polis yang sedia menanti.

Difahamkan suspek pendatang tanpa izin (PATI) berusia 24 hingga 51 tahun itu memasuki negara ini dengan menaiki bot pancung.

Bagaimanapun keempat-empat mereka yang disyaki baharu mendarat diberkas polis di jalan besar Sungai Lang, Sungai Air Tawar, di sini, 8 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, sepasukan empat anggota Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) dari Balai Polis Sungai Air Tawar dan tiga anggota Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam melakukan serbuan hasil risikan dan maklumat awam.

Menurutnya, empat PATI itu dipercayai baharu mendarat di kawasan Pantai Sungai Lang sebelum berjaya dicekup.

"Pemeriksaan mendapati semua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. Mereka ditahan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama," katanya semalam.

Dalam pada itu, Agus Salim berkata, semua pendatang haram itu dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Air Tawar di sini untuk menjalani ujian saringan.

"Semua mereka bagaimanapun didapati negatif Covid-19," katanya.

Tiada ulasan: