Seorang anggota parlimen PAS menggariskan tiga pilihan buat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan di Dewan Rakyat, Khamis ini.
Menurut Ahmad Fadli Shaari, pilihan pertama adalah mendapatkan perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen, sekali gus mengadakan pilihan raya mengejut.
Bagaimanapun, memujuk seri paduka untuk mengadakan pilihan raya ketika ini agak mustahil susulan keadaan negara masih dilanda wabak ketiga Covid-19, yang melonjak selepas pilihan raya negeri (PRN) di Sabah.
Bagi pilihan kedua, Ahmad Fadhli mencadangkan agar Muhyiddin dan menteri kabinet Perikatan Nasional (PN) meletakkan jawatan.
“Atau pilihan ketiga yang tidak popular. Mengisytiharkan darurat tapi sangat tidak baik pada pandangan rakyat,” katanya dalam satu temubual dalam Facebook Kelantan TV semalam.
Sebelum berlangsung sidang Dewan Rakyat, Muhyiddin yang menghadapi tekanan dari pembangkang dan parti dalam PN memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat bagi menggantung sidang parlimen.
Bagaimanapun Agong selepas berbincang dengan Raja-raja Melayu memutuskan tidak menerima permintaan Muhyiddin, sebaliknya menasihati semua anggota parlimen untuk menyokong Belanjawan 2021.
'Sukar bagi Muhyiddin raih majoriti'
Pada awalnya, ahli politik dari kedua-dua belah parti bersetuju untuk mengikut nasihat Agong namun sejak akhir-akhir ini, keputusan mereka berbelah bahagi.
Sementara itu, Ahmad Fadhli menambah, sukar untuk Muhyiddin meraih majoriti sekiranya rundingan tidak berlangsung dengan baik
“Saya tak dapat nak buat jangkaan, ia sangat bergantung kepada bagaimana kerajaan berunding dengan pemegang-pemegang taruh.
“Saya kira tidak mustahil belanjawan ini tidak dapat diluluskan berdasarkan pemerhatian saya tetapi saya berdoa bajet ini lulus.
“Walaupun belanjawan pernah tidak diluluskan pada tahun 1999, ia boleh menyebabkan satu kekangan untuk membuat perbelanjaan yang lebih bebas,”katanya.
Sementara itu, penganalisis politik Prof Sivamurugan Pandian berkata sejarah ketika pentadbiran Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri pada tahun 1999 boleh berulang kembali.
“Apa terjadi pada tahun 1999, di mana bajet dibentangkan pada 11 Nov pada tahun itu, perdana menteri pada ketika itu membuat pengumuman bahawa pembubaran parlimen bakal berlaku.
“Pertama kali dalam sejarah parlimen dibubarkan, termasuk bajet yang dibentangkan juga terpaksa dihentikan sehingga pengumuman keputusan pilihan raya (dan) bajet dibentang semula.
“Adakah bermaksud situasi ini boleh terjadi lagi? Ia boleh terjadi jika kerajaan masih tidak mempunyai sokongan dan berasa ini adalah keputusan terbaik dari Belanjawan dibentang tetapi tiada yang menyokong,” jelasnya dipetik portal Astro Awani.
Sivamurugan turut berpandangan bahawa Muhyiddin boleh menasihati Agong untuk membubarkan parlimen atau melantik perdana menteri baru untuk memastikan kerajaan berfungsi.
“Kedua, jika tiada sokongan, ia boleh dianggap oleh sesetengah pihak bahawa ini merupakan isu keyakinan kepimpinan dan mungkin perdana menteri boleh menasihati Agong untuk bubar parlimen atau lantik perdana menteri baru.
“Ini tidak bermaksud kerajaan tumbang, ia akan tetap berfungsi dan pada masa yang sama perdana menteri boleh menafikan bahawa jika tidak berjaya di parlimen, itu tidak bermaksud kerajaan tidak mempunyai keabsahan.
“Malah, darurat juga boleh dicadangkan, bermakna tanggungjawab untuk mendapatkan perhatian dan kelulusan belanjawan diberikan kepada Agong. Ada beberapa perkara boleh dilakukan,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan