"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Parlimen mungkin digantung Khamis ini,

MALAYSIA DATELINE

Veteran DAP, Lim Kit Siang menjangka, Parlimen mungkin akan digantung selepas Khamis ini apabila pengundian dibuat untuk menentukan apakah Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan sebelum ini mendapat sokongan majoriti atau tidak.

Apabila itu berlaku, beliau menjangka, satu perisytiharan darurat dibuat untuk disusuli dengan Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan berlangsung pada suatu tarikh di masa hadapan selepas wabak (Covid-19) ini terkawal, kata ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.

Kemungkinan ini berlaku jika beberapa ahli Parlimen dari Umno bertindak mengundi menolak Belanjawan itu kerana kini pembangkang sudah mempunyai 109 penyokong manakala kerajaan hanya ada 110 penyokong (selepas kematian Ahli Parlimen Grik) berdasarkan pengundian sebelum ini.

Salah seorang ahli Parlimen Umno, Tengku Razaleigh Hamzah telah secara terbuka mengemukakan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri dan bertindak tidak mahu terlibat membahaskan Belanjawan 2021 kerana ia dibentangkan oleh kerajaan yang tidak sah.

Kata Lim Kit Siang,  beberapa hari yang lalu, dalam kapasitinya sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia kerajaan Perikatan Nasional, Datuk Saifuddin Abdullah membicarakan masalah “defisit kepercayaan” yang menyebabkan sesetengah pihak enggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan arahan kerajaan semasa Pandemik Covid19.

Beliau mengatakan yang analisis mendapati bahawa terdapat “defisit kepercayaan” dalam kalangan sesetengah pihak, yang menyebabkan mereka mempersoalkan data yang dibekalkan oleh Kementerian Kesihatan dan tindakan yang diambil oleh Majlis Keselamatan Nasional (MKN), selain daripada bersikap marah, sarkastik dan sinis dan membuat kenyataan politik.

“Adakah Saifuddin sedar bahawa beliau adalah salah seorang pemimpin politik yang menjadi punca wujudnya “defisit kepercayaan” ini di negara kita?” kata beliau.

Ini kerana, semasa beliau menjadi Menteri Luar Negeri dalam Kerajaan Pakatan Harapan, beliau membiarkan politik toksik berasaskan penipuan dan kebencian antara kaum dan agama tersebar luas untuk memfitnah DAP sebagai anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja.

“Sedangkan DAP, sama ada di dalam atau di luar kerajaan, tidak mempunyai sebarang kaitan dengan cadangan Kementerian Luar Negeri untuk meratifikasikan ICERD ini,” katanya.

Beliau seterusnya mempersoalkan adakah Datuk Saifuddin Abdullah akan berterus terang di Parlimen esok dan mengakui bahawa kegagalan isu ICERD pada tahun 2018 adalah disebabkan oleh beliau sendiri semasa menjadi Menteri Luar Negeri dalam Kerajaan Pakatan Harapan.

Kit Siang berkata, ini kerana partinya tidak tahu apa-apa mengenai cadangan ratifikasi ICERD ini walaupun DAP yang sering dimomokkan sebagai anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja?

Saifuddin Abdulah akan menggulung perbahasan dalam Belanjawan 2021 esok di Parlimen sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Menurut ahli Parlimen Iskandar itu, isu ICERD meletus buat pertama kalinya pada akhir tahun 2018 ketika beliau sedang menyertai satu lawatan ke China.

Pada 19 November, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengatakan bahawa ratifikasi ICERD akan memerlukan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan yang merupakan “perkara mustahil untuk dilakukan” tanpa majoriti dua pertiga di Parlimen.

Pada 24 November 2018, dalam ucapan di Majlis Makan Malam Tahunan Persatuan Jiansu Malaysia di Souchou, China, Kita Siang berkata, tidak ada sesiapa pun rakyat Malaysia yang mahu negara kita meratifikasikan ICERD jika harga untuk berbuat demikian adalah satu lagi rusuhan perkauman seperti 13 Mei.

Menurut beliau, dalam ucapannya beliau bertanya, “Adakah ICERD bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia, anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja?

“Tidak ada sebarang keperluan untuk menghasut dan menimbulkan syak wasangka, permusuhan, dan kebencian di antara rakyat pelbagai kaum dan agama, yang boleh membawa kepada satu rusuhan perkauman seperti yang berlaku pada 13 Mei,” katanya.

Ini kerana, kata Kit Siang, beliau tanpa sebarang ragu-ragu percaya bahawa jika benar ICERD sememangnya anti Perlembagaan Malaysia, anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja-raja Melayu, majoriti rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum atau agama, akan menolak ratifikasi ICERD.

“Saya masih menunggu jawapan kepada persoalan saya, sama ada 99 peratus daripada 1.9 bilion umat Islam di seluruh dunia yang tinggal di negara-negara yang telah meratifikasikan ICERD ini bukan penganut Islam yang sebenar?

“Mengapakah Malaysia berbeza dengan majoriti besar 57 negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), di mana hanya Malaysia dan Brunei sahaja daripada 57 buah negara ini yang belum meratifikasikan ICERD?” katanya.

Terdapat 38 buah negara yang mengamalkan sistem monarki, di mana 36 daripada negara-negara ini telah meratifikasikan ICERD, termasuklah United Kingdom pada tahun 1969, Norway 1970, Sweden 1971, Denmark 1971, Belanda 1971, Jordan 1974, Belgium 1975, Jepun pada tahun 1995, dan Arab Saudi 1997.

“Tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan ratifikasi ICERD dalam negara-negara ini menjejaskan sistem monarki dalam negara mereka yang membawa kepada penghapusan sistem monarki,” katanya.

Bagi beliau, isu ICERD ini menjadi peringatan kepada semua rakyat Malaysia bahawa visi “Malaysia Baharu” dan memberi harapan kepada dunia yang demokrasi sebagai sistem pentadbiran untuk mencapai kebebasan, keadilan dan pentadbiran yang baik untuk rakyat di dunia.

Bagi beliau, ia masih boleh gagal jika rakyat negara ini membiarkan oportunis politik menggunakan politik toksik berasaskan penipuan dan kebencian antara kaum dan agama yang tidak teragak-agak untuk menyebabkan konflik perkauman dan keagamaan.

“Kita masih berhadapan dengan peninggalan politik toksik berasaskan penipuan dan kebencian antara kaum dan agama ini — yang digerakkan dengan cermat semasa isu ICERD ini meletus pada tahun 2018,” katanya.

Ia sama ada dalam bentuk konspirasi Langkah Sheraton atau perkara yang mungkin akan berlaku di Parlimen pada hari Khamis ini, katanya.

Tiada ulasan: