Ibrahim Ali
Tahniah kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutama kumpulan barisan hadapan, para doktor, jururawat dan ketua kengarah kesihatan serta pelbagai golongan petugas seperti polis dan tentera.
Mereka bertugas dengan cermerlang dan pengorbanan mereka amat dihargai dan disanjungi.
Sebenarnya tidak ada keperluan untuk tergesa- gesa bagi mendapatkan vaksin. Kita percaya banyak negara akan memperolehi lebih banyak vaksin, manakala setakat ini negara kita dapat menangani Covid-19 tanpa vaksin.
Kita berharap perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) tidak dilanjutkan apabila tamat pada 6 Dis ini. Rakyat perlu bernafas dan kembali bebas untuk meneruskan kehidupan saperti biasa. Untuk berniaga dan berkerja. Tidak perlu ada halangan lagi.
Ketua pengarah kesihatan disarankan - semasa melaporkan status perkembangan Covid-19 setiap hari - agar menunjukkan dalam peta di mana pesakit Covid-19 berada supaya orang ramai boleh mengelak tempat tersebut.
Apabila tiba-tiba keluar berita di Selangor begitu ramai terkena jangkitan Covid-19, semua orang jadi panik. Padahal kawasan yang berlaku kejadian itu adalah di Klang yang membabitkan kilang Top Glove.
Perkara seumpama ini wajar dimaklumkan dengan tepat lebih awal.
Sementara itu sesiapa yang berhajat melakukan perjalanan rentas sempadan pula perlu mendapat kebenaran polis. Ini membebankan tugas polis dan menambah mereka yang tidak perlu.
Sudah ada peraturan tetap
Polis sepatutnya menumpukan tugas kepolisan untuk menangkap pencuri dan pelbagai jenis jenayah. Apatah lagi ketika negara dibanjiri pelbagai jenis pendatang asing termasuk yang masuk sebagai pelancong dan tidak pulang ke negara asal mereka.
Polis kena melipatgandakan operasi mencari dan menangkap mereka. Ini patut dijadikan keutamaan.
Manakala prosedur operasi standard (SOP) pula selalu berubah-ubah menyebabkan rakyat jadi keliru. Akhirnya ada yang kena tangkap dan didenda kerana naif dengan SOP dan undang-undang.
Mengenai makanan yang dipesan secara dalam talian untuk penduduk dalam kawasan petempatan berkawal, kenapa tidak dibenar makanan atau apa saja tempahan mereka diizinkan hantar terus kepada yang membuat tempahan?
Kenapa membebankan kakitangan keselamatan (pengawal keselamatan) yang terpaksa menghantar setiap hantaran tempahan atau yang membuat tempahan kena turun untuk dapatkan tempahannya bagi yang tinggal di kawasan seperti apartmen, flat dan kondominium?
Kenapa pula kolam renang di apartmen diarah tutup? Sebelum arahan tutup, setiap kolam renang sudah pun ada peraturan tetap. Tidak ada over crowding (orang bersesak-sesak). Boleh saja dihadkan pengguna setiap masa.
Maka tidak perlu diarah tutup kolam renang di kawasan apartmen.
Pengunjung atau pelawat pula dihadkan kepada 20 orang tanpa mengambil kira keluasan apartmen atau rumah. Ia sepatutnya dikira mengikut keluasan tempat berkenaan termasuk apa jua program yang di adakan.
Keluarga tidak dibenarkan melawat atau menziarahi orang tua. Ini menyebabkan kesunyian dan stress yang boleh menyebabkan kematian.
Kenapa ada syarat kepada setiap keluarga atau penguna kereta hanya dibenarkan dua orang - dan sekarang diizinkan tiga orang? Kenapa tidak dibenarkan jumlah dalam kenderaan mengikut saiz kenderaan?
Contohnya kalau kereta Vellfire yang boleh muat enam orang, kenapa dihadkan tiga orang?
Amat wajar pihak yang menguruskan SOP ini bersikap lebih prihatin dan berfikir secara mendalam sebelum membuat peraturan. Biarlah ia logik pada akal.
Sememang saya menyokong 100 peratus usaha menangani Covid-19 demi kesihatan dan keselamatan rakyat semua, tapi biarlah peraturan-peraturan yang dilaksanakan masuk akal.
Kempen pakai pelitup muka, mencuci tangan dengan sabun dan selalu mengamalkan penjarakan fizikal mesti dilipatgandakan.
Semoga Allah SWT selamatkan kita semua daripada Covid-19.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan