"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penganalisis: Anwar tak cukup sokongan untuk undi belah bahagi

Nicholas Chung

PETALING JAYA: Penganalisis politik berkata, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim kekurangan sokongan Ahli Parlimen untuk menolak Belanjawan 2021 ketika bacaan kedua Rang Undang-undang Perbekalan di Dewan Rakyat Khamis lalu.

Justeru, berdasarkan hakikat itu, beliau mungkin memutuskan untuk tidak meminta undi belah bahagi, kata James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania.

Presiden PKR itu mungkin memikirkan soal kredibiliti beliau sekiranya meminta undi belah bahagi tetapi gagal menghalang bacaan kedua rang undang-undang berkenaan daripada diluluskan, memandangkan sebelum ini percubaannya menawan Putrajaya September tidak berjaya, kata Chin.

” Beliau tidak mempunyai sokongan yang cukup atau sekiranya beliau mempunyai sokongan itu sebelum ini, mereka tidak lagi bersamanya,” kata Chin.

“Beliau tidak akan memilih untuk mengundi secara belah bahagi apabila ia jelas menunjukkan bahawa beliau tidak mempunyai sokongan. Sekarang, beliau boleh masih mengatakan bahawa beliau masih mempunyai sokongan untuk menghalangnya pada peringkat jawatankuasa.

“Ramai orang kecewa dengan Anwar dan pembangkang tetapi mereka perlu menjadi realistik dan menyedari bahawa pembangkang tidak akan dapat bersatu untuk membantah belanjawan berkenaan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata pembangkang mungkin terlepas peluang terbesarnya menumbangkan Muhyiddin Khamis lalu dan yakin kedudukan beliau sebagai perdana menteri “agak selamat” buat masa ini.

Chin melihat perubahan akan dibuat terhadap belanjawan berkenaan pada peringkat jawatankuasa untuk menampung keperluan Ahli Parlimen sebagai pertukaran kepada sokongan mereka.

Beliau melihat pilihan raya umum sebagai satu-satu opsyen untuk pembangkang mencapai matlamat menjatuhkan kerajaan pimpinan Muhyiddin.

Ahli Parlimen Umno memegang kunci

Seorang lagi penganalisis, Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata peluang pembangkang untuk menjatuhkan Muhyiddin adalah tipis berikutan keputusan pimpinan Umno dan penyokong kerajaan menyokong belanjawan.

Beliau berkata meskipun sokongan daripada Umno adalah sedikit, ia tetap menjadi faktor penting.

“Umno tidak menyokongnya (Anwar) pada saat terakhir dan ia adalah sebab beliau berasa beliau tidak akan menang lalu memutuskan untuk tidak meminta undi belah bahagi,” katanya kepada FMT.

Tiada ulasan: