1. Tak ada sesiapa yang terima bajet 2021 dari blok PH ++ bulat-bulat. Penerimaan awal Bajet peringkat dasar bukan bermakna noktah berakhir. Peringkat jawatankuasa adalah tindakan susulan untuk meneliti setiap perincian kerana asal bajet telah dibuat berbagai perubahan dalam penggulungan Menteri Kewangan.
2. Adapun keputusan untuk ‘stand down’ undi (tak jadi mengundi tolak bajet) dari Ketua Pembangkang, ianya dibuat pada saat akhir semasa penggulungan sedang berlangsung.
3. Perubahan keputusan pada saat akhir menimbulkan berbagai kekeliruan di kalangan MP blok PH ++ sehingga membuatkan MP Pokok Sena mencadangkan usul belah bagi. Sebagai rekod, kelayakan mengundi disyaratkan 15 MP bangun menyokong usul.
4. Oleh kerana ketua-ketua parti menerima arahan ‘stand down’, bilangan 15 MP tidak mencukupi untuk undian, bagi AMANAH tidak semua MP nya berdiri tanda sokongan, dari PKR hanya seorang, DAP seorang manakala yang lain ialah dari Pejuang menjadikan bilangan mereka 13 MP sahaja.
5. Dari sudut etika, MP dari blok PH tertakluk kepada arahan Ketua Pembangkang untuk menyelaraskan tindakan mereka di dewan. Ketua Whip parti masing-masing akan menerima arahan untuk tindakan. Samada arahan saat akhir tidak diterima, atau arahan samar-samar ataupun sengaja dibuat, itu adalah sesuatu yang belum dapat dipastikan.
6. Dalam keadaan demikian, pada pendapat saya, kita tidak boleh menyalahkan sesiapa tetapi pada waktu yang sama, kita tidak boleh menyalahkan penyokong2 PH dari berasa marah terhadap insiden yang berlaku. Untuk itu, saya secara peribadi memohon maaf jika tindakan kami menimbulkan keresahan, keliru dan marah atas arahan ‘tarik handbrake’ dari menolak bajet 2021 pada saat-saat akhir.
7. Atas garis yang sama, saya perlu bersikap adil untuk memahami mengapakah arahan saat akhir ini bertukar arah. Alasan Ketua Pembangkang secara asasnya bersandarkan kepada keperluan rakyat adalah lebih utama dari keperluan politik di dalam dewan.
8. Hakikatnya inilah yang berlaku…Semasa penggulungan 26hb Nov, Menteri Kewangan ternyata mengalah kepada tuntutan blok PH ++ dan BN backbencher berbanding dari janji-janji dalam pembentangan awal. Antara lain ialah morotorium pinjaman bank hingga Mac 2021, keluaran otomatik KWSP 10ks secara meluas dan pemotongan peruntukan untuk JASA.
9. Penyokong PH perlu memahami, ini adalah antara tuntutan PH dan BN backbencher yang disuarakan dalam perbahasan mereka. Adalah sesuatu yang merugikan jika kita menolak bajet yang tunduk kepada sebahagian kehendak kita. Bayangkan jika PH ++ menolak bajet ini, kita akan dilihat memperbodohkan diri sendiri dan mengundang kemarahan rakyat.
10. Ketua Pembangkang menegaskan bahawa semua pindaan yang disebut oleh Menteri Kewangan perlu diteliti di peringkat jawatankuasa bajet dan tidak menolak kemungkinan membawa usul belah bagi jika perincian tidak mencerminkan pindaan-pindaan yang dijanjikan. Perjuangan Bajet yang benar-benar menfaatkan rakyat belum berakhir. Saya merayu kepada penyokong PH janganlah cepat membuat rumusan dan andaian yang tidak membantu memperkukuhkan kesatuan dalam PH.
Apa sahaja yang berlaku pada 26hb Nov lalu tidak sama sekali menyokong keabsahan (legitimasi) kerajaan PN yang hingga kini tanpa majoriti yang terbukti. Perjuangan lebih besar ialah membawa usul tidak percaya kepada TSMY dan sekaligus mempertahankan demokrasi berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia.
DS Dr Mujahid Yusof Rawa/Ahli Parlimen Parit Buntar/Naib Presiden AMANAH/28hb Nov 2020.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan