USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDIN
“Jangan bermudah-mudah dengan hukum agama. Hang nak ajak orang bermudah-mudah dengan agama?” Demikian kata seseorang apabila disebut, agama itu mudah.
Al-Quran sebut, Allah mahukan kemudahan untuk kamu dan tidak mahukan kesukaran. Nabi menyebut, agama itu mudah.
Memilih mudah dalam urusan agama adalah tuntutan agama. Kerana agama ini bukan dianut oleh orang kuat, cerdik dan kaya sahaja.
Orang kuat yang mahu solat panjang-panjang, silakan. Dengan syarat solat seorang diri kerana jika menjadi imam, ada makmumnya yang lemah.
Imam perlu meraikan makmum kerana masjid dan musalla bukan untuk orang kuat sahaja, tetapi untuk orang lemah turut serta bersolat jamaah.
Di penghujung al-Quran ada surah-surah pendek yang mudah dihafaz supaya boleh dibaca oleh orang lemah dalam solat.
Bahkan, syarak membenarkan orang yang tidak berupaya menghafaz surah al-Fatihah membaca apa saja zikir yang dihafaznya ganti al-Fatihah dalam solat. Bukankah ini kemudahan dalam beragama?
Mengapa begitu? Sudah tentu kerana Tuhan dan Nabi mahu agama ini diterima dan diamal oleh semua orang mengikut keupayaan masing-masing.
Ah, Takkan surah al-Fatihah tak boleh hafaz? Ada orang Arab tak boleh hafaz surah al-Fatihah. Itu bukan pelik. Adakah Islam bukan agama untuknya jika dia tidak hafaz al-Fatihah?
Nabi bersolat sehingga bengkak kaki tetapi bukan sepanjang hidup baginda kakinya bengkak kerana solat. Baginda berpuasa wisal (tanpa berbuka pada hari pertama) tetapi baginda bukan berpuasa wisal sepanjang tahun.
Baginda mampu melakukan semua itu sepanjang hayat tetapi baginda tidak melakukannya kerana tidak mahu hal itu dicontohi oleh umat. Itu bukti baginda tidak mahukan kesukaran dalam berpegang dengan agama.
Bahkan, jika ada umat baginda melakukannya, baginda melarang kerana sekuat manapun manusia, sampai masanya dia akan mengalami kelemahan.
Baginda mahukan umatnya beramal secara konsisten biarpun sedikit kerana hal sebegitu lebih berkesan kepada proses pembentukan insan.
Kewajipan kita ialah menampilkan Islam dalam wajah yang mudah kerana mudah itu rahmah. Menyusahkan urusan agama bukan daripada agama tetapi daripada nafsu yang ditarik tali kekangnya oleh syaitan.
*USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDIN merupakan Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH Nasional dan mantan Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan