"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Annuar dedah surat sokongan Zahid kepada Presiden PKR, jatuhkan PN

FAZLI RADZI

Selepas dipecat sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa hari ini tampil membuat pendedahan.

Ahli Parlimen Ketereh itu mendedahkan surat sokongan yang ditandatangani oleh pemimpin tertinggi Umno kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Annuar, ini merupakan pertama kali surat bertarikh 11 Oktober itu didedahkan kerana beliau tidak bersetuju dengan pendirian menyokong Ketua Pembangkang tersebut.

Beliau juga berkata, antara isi kandungan surat sokongan yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong itu ialah untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya tahu semua sekali dan surat ini saya sudah semak dengan banyak pihak dan surat ini adalah tulen.

“Dalam surat ini antara perkara-perkara yang disebut ialah menjatuhkan kerajaan yang ada sekarang, menukar perdana menteri dan menjanjikan kesetiaan kepada Anwar Ibrahim,” dedahnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas berikutan pengguguran jawatannya sebagai Setiausaha Agung BN.

Annuar Musa menolak pendirian Ahmad Zahid menyokong Anwar Ibrahim.

Menurutnya, tindakan diambil Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu merupakan percubaan dan perundingan yang melibatkan DAP dalam apa yang dipanggil penjajaran baharu politik.

“Percubaan menggugat kestabilan kerajaan PN berkali-kali yang menyebabkan terjejasnya hubungan baik terutamanya antara Umno, Pas dan Bersatu yang merupakan parti teras yang telah mewujudkan perpaduan Melayu dan Islam di negara ini,” jelasnya lagi.

Sejak Oktober tahun lalu, tular sepucuk surat menggunakan kepala surat Umno yang didakwa ditulis oleh Ahmad Zahid kepada Yang di-Pertuan Agong.

Zahid pula sedang berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 membabitkan pengubahan wang haram melibatkan wang puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Kandungan surat bertarikh 11 Oktober lalu itu mendakwa Ahli Dewan Rakyat Umno memberikan sokongan kepada Anwar sebagai calon Perdana Menteri kesembilan.

Walau bagaimanapun, beberapa Ahli Parlimen Umno tampil menafikan sokongan untuk Anwar menjadi Perdana Menteri.

Mereka juga menolak sebarang penggabungan politik Umno dengan DAP. Antaranya, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Annuar sebelum ini menegaskan pendiriannya tidak berganjak daripada keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bahawa ‘No DAP, No Anwar ‘.

Beliau menolak Umno untuk menyokong Anwar dan DAP kerana mahukan Umno memimpin muafakat parti Melayu dan Islam serta menolak perpecahan ummah.

Pada 12 Disember lalu, Annuar memberitahu wujud usaha mendapatkan Akuan Bersumpah (SD) dengan pujuk rayu berterusan untuk menyokong Anwar.

Dalam masa sama, katanya, punca kemarahan kepada kerajaan cuba direka serta nama istana dan kerabat turut diguna dalam cubaan untuk membawa parti menyokong Anwar Ibrahim dan DAP.

Ketegangan hubungan Annuar dan kepimpinan tertinggi Umno dilihat berlaku sejak 12 Mac tahun lalu apabila Menteri Wilayah Persekutuan itu diganti dengan Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Setiausaha Agung Umno.

Tiada ulasan: