"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ku Li rela dikerat empat

AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah rela mati dikerat empat daripada menyertai parti baharu yang diterajui oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau menegaskan bahwa tidak akan sama sekali meninggalkan UMNO kerana hatinya sudah begitu sebati dengan perjuangan parti itu.

Menurut Tengku Razaleigh atau Ku Li, beliau bersama Mahathir kerana ingin memperjuangkan kepentingan keabsahan sesebuah kerajaan ditentukan.

Katanya, perkara itu tidak salah dan tidak bertentangan dengan dasar parti UMNO.

“Saya ahli UMNO. Sebagai seorang ahli politik tidak akan semudah itu saya nak tukar parti, walaupun saya ini kenalan baik Dr. Mahathir.

“Lagipun dia rapat dengan saya dari dulu lagi. Sama-sama senior daripada parti UMNO, tapi dia bukan dalam UMNO lagi sekarang. Dia cuba hendak tubuh sebuah parti pimpinan sendiri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Gua Musang di Bukit Cekati di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pelbagai desakan supaya beliau keluar daripada UMNO berikutan tindakannya berada sepentas bersama Mahathir baru-baru ini.

Tengku Razaleigh yang juga Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO berkata, beliau berjumpa dengan Mahathir dengan satu tujuan dan tidak lebih daripada itu.

Katanya, soal yang paling besar kerana beliau benar-benar serius hendak menolong rakyat kerana keadaan politik tidak stabil dan masalah ekonomi negara berpanjangan.

“Disebabkan masalah itu, pelabur luar tidak datang ke negara kita untuk melabur kerana tidak yakin kepada pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

“Apa yang paling teruk berlaku kepada rakyat peningkatan mendadak pengganguran kerana tidak dapat wujud peluang pekerjaan,” katanya. -K! ONLINE

Tiada ulasan: