"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gabungan Bersatu dan PAS tak mampu tewaskan Umno - penganalisis

Ramieza Wahid

Gabungan PAS dan Bersatu tidak akan dapat menewaskan Umno sekiranya parti-parti sekutu berkenaan bertembung pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata bekas pensyarah kanan dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Prof Dr Jeniri Amir.

Tambah pemerhati politik itu, ini kerana kedua-dua parti itu juga dilihat “bertenggek” atas kekuatan sokongan parti dominan seperti Umno selama penubuhan gabungan Perikatan Nasional (PN).

“Tidak mungkin, kerana Bersatu dan PAS juga merupakan parti yang bertenggek atas kekuatan Umno, malah mereka juga menjadi kerajaan sekarang hanya kerana sokongan Umno.

“Meskipun mereka (Bersatu dan PAS) ingin bekerjasama untuk pilihan raya akan datang, masih sukar untuk mereka tewaskan Umno,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Jelas Jeniri lagi, PAS seeloknya bekerjasama dengan Umno kerana ia akan membuka lebih ruang kemenangan buat mereka.

“Dengan kekuatan PAS yang sedia ada, lebih baik bekerjasama dengan Umno kalau mahu peluang lebih besar (menang pilihan raya).

“Kalau dengan Bersatu, boleh, cuma populariti Bersatu kian menurut dan mereka akan parti terkesan teruk untuk PRU akan datang ini,” katanya lagi.

Umno ada akar umbi lebih ramai

Senada dengan Jeniri, Pensyarah Universiti Malaya, Prof Dr Awang Azman Awang Pawi juga berpandangan sekiranya Bersatu dan PAS membuat keputusan untuk melawan Umno pada PRU, ia tidak akan memberi impak yang besar.

“Jika Bersatu dan PAS ambil keputusan untuk lawan Umno pada PRU, saya kira itu tidak akan bawa impak atau mampu tewaskan Umno, kerana Umno juga sudah ada keahlian dan sokongan akar umbi yang lebih ramai daripada kedua-dua parti itu.

“Apabila mereka (Bersatu dan PAS) nak lawan Umno ini, dia agak tak relevan,” katanya lagi.

Untuk rekod, selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan melalui Langkah Sheraton, Bersatu membentuk kerajaan baru melalui kerjasama longgar dengan beberapa parti lain termasuk Umno dan BN.

Ia kemudian menyaksikan munculnya PN yang disertai PAS sebagai salah satu parti komponen manakala Umno dan BN kekal berada di luar gabungan tersebut.

Ia menimbulkan rasa kurang senang beberapa pemimpin Umno yang menyatakannya sama ada secara terbuka atau berkias, kerana PAS dan Umno sendiri sudah memeterai perjanjian persefahaman melalui Muafakat Nasional.

Malah, pergeseran antara Bersatu dan Umno kian ketara selepas terdapat beberapa cubaan Umno untuk merebut kembali kerusi tradisi yang ditandingi mereka namun kini dimiliki oleh Bersatu.

Antaranya Umno Pagoh sebulat suara enggan memberikan laluan kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk mempertahankan kerusi parlimen itu pada PRU akan datang.

Ketua Umno Pagoh Ismail Mohamed berkata pendirian mereka itu diharap dapat didengar oleh kepimpinan tertinggi parti.

Malah, bahagian Umno di Perak juga meletakkan syarat tertentu sebelum sedia bekerjasama dengan Bersatu menjelang PRU ke-15 yang tarikhnya dijangka semakin hampir.

Ketua Umno Beruas, Dr Azhar Ahmad pula berkata antara syarat yang ditetapkan ialah Bersatu mengembalikan semula semua kerusi mereka yang sebelum ini dimenangi dengan tiket Umno.

Bukan cuma itu, perselisihan Umno dan Bersatu dikeruhkan lagi selepas Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa Bersatu kini galak 'mencuri' dan 'membeli' ahli Umno.

Susulan itu, Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, menuntut Asyraf membuat permohonan maaf malah mempertimbangkan tindakan undang-undang ke atas ketua Pemuda Umno it susulan dakwaan tersebut.

Hanya untuk beberapa negeri

Sementara itu, penganalisis politik Prof Omar Rusdi pula menyifatkan kerjasama antara dua parti itu mampu menewaskan Umno namun hanya untuk mentadbir beberapa negeri.

“Mungkin di negeri Kelantan mereka boleh menang tetapi di negeri-negeri lain sukar untuk diramalkan,” kata pensyarah dari Universiti Utara Malaysia itu.

Selain itu, Rusdi juga berpendapat PAS sewajarnya membantu menjadi ‘pendamai’ bagi parti Bersatu dan Umno yang dilihat sering bertelagah.

“PAS wajar jadi pendamai bagi menyelesaikan perselisihan yang berlaku antara Umno dan Bersatu. Mereka semua perlu duduk semeja dan berbincang dalam menangani isu kerjasama ini supaya semua memperolehi keputusan menang-menang bila keputusan dibuat nanti.

“Carilah penyelesaian yang tuntas dalam pembahagian kerusi nanti, semua parti jangan tamak nak berebut kerusi yang penting bila bertanding nanti mereka boleh menang dan terus mentadbir PN,” katanya lagi.

Tiada ulasan: